DUNIA > BERITA

LDP JEPUN DIJANGKA MENANG BESAR , TAKAICHI KEKAL PM

09/02/2026 12:19 AM

TOKYO, 8 Feb (Bernama-Kyodo) -- Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang diterajui Perdana Menteri Sanae Takaichi dijangka memenangi majoriti besar dalam Dewan Perwakilan pada pilihan raya Ahad, menurut keputusan awal dan unjuran Kyodo News.

Keputusan itu, yang sebahagian besarnya didorong oleh populariti peribadi beliau, sekali gus membuka jalan untuk Takaichi kekal memegang jawatan yang disandangnya.

LDP, yang membentuk gabungan bersama Parti Inovasi Jepun (JIP), telah memperoleh sekurang-kurangnya 243 kerusi, melepasi garis majoriti 233 kerusi dalam dewan rendah yang mempunyai 465 ahli itu. Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 198 kerusi sebelum pilihan raya diadakan, lapor Agensi Berita Kyodo.

Di tengah-tengah kemelut inflasi yang berpanjangan dan persekitaran antarabangsa yang semakin mencabar, Takaichi berjanji untuk meneruskan dasar fiskal yang "bertanggungjawab namun agresif" serta memperkasakan keupayaan pertahanan negara.

Kem pemerintah itu diunjurkan memperoleh sekurang-kurangnya 261 kerusi, membolehkan mereka mempengerusikan semua jawatankuasa tetap dan mengatasi jumlah pembangkang dalam panel berkenaan, sekali gus membantu melancarkan agenda perundangan kerajaan.

Parti pembangkang utama, Centrist Reform Alliance  yang ditubuhkan pada Januari menerusi gabungan ahli Dewan Perwakilan daripada Parti Demokratik Perlembagaan Jepun dan Komeito - dijangka kehilangan banyak kerusi berdasarkan keputusan awal dan unjuran berkenaan.

Susulan laporan media mengenai kemenangan LDP, Takaichi dalam satu program televisyen membayangkan tiada perubahan besar akan dilakukan terhadap barisan Kabinet yang dilancarkan kurang empat bulan lepas.

Bagaimanapun, beliau berharap JIP (juga dikenali sebagai Nippon Ishin) yang sebelum ini memutuskan untuk tidak memegang sebarang jawatan menteri, akan "memikul tanggungjawab bersama dalam Kabinet".

Setakat ini, masih belum jelas sama ada JIP mampu mengekalkan kekuatan 34 kerusi yang dimilikinya sebelum pilihan raya.

“Ia adalah pilihan raya yang mana kami merasakan tekanan daripada LDP,” kata pemimpin JIP, Hirofumi Yoshimura dalam sidang media di Osaka, sambil menambah bahawa pihaknya telah cuba meyakinkan pengundi mengenai peranan penting parti itu dalam gabungan berkenaan.

Fokus kini tertumpu kepada sama ada kem LDP-JIP mampu memperoleh majoriti dua pertiga atau 310 kerusi, yang akan membolehkan mereka memulakan cadangan meminda Perlembagaan - matlamat lama LDP - untuk dibawa ke referendum nasional.

Takaichi menzahirkan harapan agar “pelan konkrit” untuk meminda undang-undang tertinggi itu dapat dibahaskan di Parlimen.

Sementara itu, Parti Sanseito, sebuah kumpulan populis dengan slogan “Utamakan Jepun”, dijangka mencatatkan peningkatan ketara, manakala Team Mirai yang memperjuangkan penggunaan teknologi digital dalam penyertaan politik, setakat ini diunjurkan memenangi kerusi pertamanya.

Takaichi, yang mengekalkan populariti tinggi sejak menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun Oktober lepas, sebelum ini berikrar untuk "meletak jawatan serta-merta" sekiranya gabungan itu gagal memperoleh majoriti.

-- BERNAMA-KYODO 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan