DUNIA > BERITA

BANDAR SESAK: POPULASI BERLEBIHAN ANCAM ALAM SEKITAR BANDAR DI ASIA TENGGARA

10/02/2026 12:12 AM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 9 FEB (Bernama) -- Bandar-bandar yang berkembang pesat dan meluas di Asia Tenggara kini menjadi pusat kuasa, simbol kemakmuran dan sumber harapan bagi jutaan orang yang mencari kehidupan lebih baik.

Namun, di sebalik kisah kejayaan ini terdapat risiko yang semakin meningkat yang mengancam asas bandar-bandar tersebut.

Populasi berlebihan menyebabkan beberapa bandar bersejarah termasuk Bangkok, Ho Chi Minh City, Jakarta, Kuala Lumpur dan Manila ke arah apa yang disifatkan oleh pakar sebagai mimpi ngeri ekologi.

Kemerosotan alam sekitar, yang disebabkan oleh pencemaran air dan udara, banjir, lebihan sisa, tahap kemasinan yang tinggi dan kenaikan suhu, terus menghantui bandar-bandar ini.

Ahmad Rifai, Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Yayasan Kota Kita, Indonesia berkata lebih 50 peratus rakyat Indonesia kini menetap di kawasan bandar, dengan Jakarta baru-baru ini mengatasi Tokyo sebagai bandar paling ramai penduduk di dunia.

“Dalam dunia ideal, kadar urbanisasi ini sepatutnya diiringi dengan tadbir urus yang cekap dan inklusif. Dalam realiti, pertumbuhan bandar sering melebihi kapasiti perancangan.

“Banyak bandar, seperti Jakarta, Bandung dan Denpasar, sedang bergelut dengan pembangunan pantas, meningkatkan tekanan ke atas sistem sisa dan kualiti udara.

“Cabaran ini diperkukuh oleh risiko iklim yang meningkat, seperti banjir dan tekanan haba, yang memberi impak lebih besar kepada penduduk kawasan padat dan penempatan tidak formal,” kata Rifai kepada Bernama.

Asia Tenggara kini menempatkan kira-kira 680 juta orang.

Menurut laporan Prospek Perbandaran Dunia 2025 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Jakarta merupakan bandar paling ramai penduduk di dunia dengan 42 juta orang.

Ibu negara Filipina, Manila, sesak dengan 30 juta penduduk, manakala Bangkok dan Ho Chi Minh City masing-masing hampir 10 juta penduduk.

Laporan itu juga menyatakan bilangan bandar raya mega di seluruh dunia meningkat empat kali ganda daripada lapan pada 1975 kepada 33 tahun lalu, dengan 19 daripadanya terletak di Asia.

Unjuran menunjukkan yang menjelang 2050 akan terdapat 37 bandar raya mega di seluruh dunia, termasuk Kuala Lumpur yang dijangka melebihi 10 juta penduduk.

Trend ini akan membawa kepada kejiranan sesak, peningkatan permintaan tenaga dengan penggunaan bahan api fosil lebih tinggi, kesesakan lalu lintas dan tekanan besar terhadap ketersediaan tanah serta infrastruktur, sekali gus menjejaskan bandar.

Pakar yang bimbang dengan kemerosotan alam sekitar di bandar serantau menyeru campur tangan segera kerajaan.

“Bandar yang terletak di muara sungai, seperti Bangkok, Manila, dan Jakarta, terdedah kepada pencerobohan air masin, yang boleh menjejaskan bekalan air. Bandar menghadapi pencemaran udara dan air yang teruk, serta masalah pelupusan sisa.

“Ini sangat mencabar. Perancangan adalah isu penting, dan dasar perlu diterjemahkan kepada tindakan,” kata Presiden Institut Alam Sekitar Thailand Dr Wijarn Simachaya kepada Bernama.

Kawasan Metropolitan Bangkok menghasilkan kira-kira 10,000 tan sisa setiap hari, manakala Jakarta menghasilkan sekitar 8,000 tan sampah setiap hari.

Bandar-bandar berada di bawah tekanan besar untuk menampung populasi yang meningkat akibat migrasi dari luar bandar, menghadapi penggunaan perkhidmatan kesihatan yang berlebihan, peningkatan pesat pemilikan kenderaan persendirian dan kenaikan harga hartanah.

Kimsea Chea, Pengurus Penyelidikan dan Perundingan APS Cambodia, bersetuju yang banyak bandar moden menghadapi cabaran serupa, terutamanya kenaikan harga hartanah.

“Sehingga tahap tertentu, ini adalah hasil yang dijangka daripada pertumbuhan bandar dan permintaan tinggi.

“Namun, tekanan terhadap infrastruktur, sistem kesihatan dan pendidikan akhirnya mencerminkan sejauh mana dasar perancangan bandar dilaksanakan dan dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Walaupun pembangunan mengikuti permintaan, sebuah bandar yang diatur dengan baik sepatutnya mampu menampung pertumbuhan tanpa kesesakan teruk atau kemiskinan bandar yang meluas,” kata Kimsea kepada Bernama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan