DUNIA > BERITA

PAKISTAN TAMATKAN BOIKOT PERLAWANAN KRIKET MENENTANG INDIA 

10/02/2026 11:12 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 10 Feb (Bernama) -- Perlawanan berprofil tinggi antara India dan Pakistan sempena Piala Dunia Kriket T20 akan diteruskan di Colombo pada Ahad ini selepas rundingan dalam kalangan pegawai tertinggi sukan itu di Lahore, Pakistan serta perbualan telefon antara pemimpin Pakistan dan Sri Lanka.

“Terima kasih Perdana Menteri (Shehbaz Sharif) kerana memastikan permainan yang kita semua cintai ini diteruskan. Saya gembira kerana perlawanan yang dinanti-nantikan antara India dan Pakistan dalam Piala Dunia Kriket T20 yang sedang berlangsung di Colombo akan diteruskan seperti dirancang,” kata Presiden Sri Lanka Anura Kumara Dissanayake menerusi satu hantaran di X pada Isnin malam.

Dissanayake berkata beliau telah bercakap dengan Shehbaz dan memintanya supaya membenarkan pasukan Pakistan beraksi menentang India.

Perdana Menteri Pakistan itu menghargai sentimen Presiden Sri Lanka berkenaan dan menyatakan bahawa Colombo turut berdiri bersama Islamabad ketika berdepan saat-saat sukar, menurut laporan media Pakistan.

Kerajaan Pakistan kira-kira seminggu lalu mengarahkan pasukan kebangsaannya memulaukan perlawanan menentang India selepas Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) enggan memenuhi permintaan Bangladesh supaya semua perlawanan mereka dipindahkan ke Sri Lanka berikutan ancaman keselamatan terhadap pemain dan peminat di India.

“Susulan lawatan singkat saya ke Pakistan semalam dan mengambil kira hasil perbincangan kami yang akan datang, saya meminta Pakistan untuk beraksi dalam perlawanan Piala Dunia Kriket T20 ICC menentang India pada 15 Feb ini demi kepentingan keseluruhan ekosistem kriket,” kata Presiden Lembaga Kriket Bangladesh (BCB) Aminul Islam dalam satu kenyataan pada Isnin.

Lembaga Kriket Pakistan (PCB) menyokong kuat pendirian Bangladesh dan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang disifatkannya sebagai “dwistandard” ICC.

ICC sebelum ini membawa masuk Scotland untuk menyertai kejohanan itu yang dianjurkan bersama oleh India dan Sri Lanka dari 7 Feb hingga 8 Mac ini selepas Bangladesh enggan berkunjung ke India.

“Kami amat terharu dengan usaha Pakistan yang melangkaui jangkaan dalam menyokong Bangladesh sepanjang tempoh ini. Semoga persaudaraan kita terus berkembang,” kata ketua kriket Bangladesh itu.

Timbalan Pengerusi ICC Imran Khwaja, Pengerusi PCB Mohsin Naqvi dan Aminul Islam mengadakan mesyuarat di Lahore bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan.

Shehbaz kemudiannya dimaklumkan oleh Naqvi mengenai hasil perbincangan peringkat tinggi itu.

Badan induk kriket dunia itu berkata dialognya dengan PCB “diadakan sebagai sebahagian daripada penglibatan yang lebih luas dengan kedua-dua pihak mengiktiraf keperluan bagi jalinan kerjasama yang membina” dan “dipersetujui bahawa semua ahli akan menghormati komitmen masing-masing mengikut terma penyertaan bagi acara ICC.”

Bangladesh tidak akan dikenakan penalti atas ketidakhadiran mereka daripada kejohanan itu dan akan berpeluang menjadi tuan rumah acara ICC menjelang Piala Dunia Kriket Lelaki ICC 2031, menurut ICC dalam satu kenyataan.

“Sebagai penganjur bersama kejohanan ini, Sri Lanka merakamkan penghargaan kepada @ICC dan semua pihak berkaitan atas usaha mereka. Sri Lanka tidak melupakan solidariti yang ditunjukkan oleh India dan Pakistan semasa Piala Dunia 1996, apabila mereka beraksi di Colombo ketika pihak lain mengelak berbuat demikian atas kebimbangan keselamatan,” kata Dissanayake.

Perlawanan kriket antara Pakistan dan India menjamin jumlah penonton televisyen yang besar selain mempunyai kepentingan tinggi kepada penaja, pengiklan dan penganjur.

Kejohanan T20 itu berisiko kehilangan daya tarikannya dan boleh membawa kesan kewangan yang serius sekiranya Pakistan bertegas untuk tidak beraksi menentang India.

Pembatalan tempahan hotel secara besar-besaran oleh peminat kriket turut dilaporkan di Colombo selepas pengumuman boikot oleh Pakistan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan