DUNIA > BERITA

ISRAEL RANCANG SEKAT AKSES KE MASJID AL-AQSA PADA RAMADAN - BEKAS MUFTI

13/02/2026 10:43 PM

BAITULMUQADDIS, 13 Feb (Bernama-Anadolu) -- Pihak berkuasa Israel merancang untuk menyekat akses umat Islam ke Masjid Al-Aqsa bagi menunaikan solat sepanjang bulan suci Ramadan yang bakal tiba, menurut seorang ulama terkenal dan bekas mufti besar Baitulmuqaddis.

Dalam satu temu bual dengan Anadolu Ajansi, Sheikh Ekrima Sabri, yang juga Ketua Majlis Tertinggi Islam di Baitulmuqaddis, menyatakan kekesalan terhadap rancangan pentadbiran Israel untuk menyekat akses ke masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu menjelang Ramadan yang bermula pertengahan minggu depan.

Niat jahat Israel jelas kelihatan apabila Mejar Jeneral Avshalom Peled dilantik sebagai komander polis baharu di timur Baitulmuqaddis yang diduduki pada minggu pertama Januari. Langkah itu dilihat sebagai percubaan untuk memajukan rancangan Menteri Keselamatan Nasional haluan kanan, Itamar Ben-Gvir terhadap Masjid Al-Aqsa yang sering menjadi titik konflik.

“Umat Islam menyambut Ramadan dengan penuh optimistik, mengikut tradisi Nabi Muhammad SAW yang menyambut kedatangan bulan itu pada penghujung Syaaban.

Namun bagi Baitulmuqaddis, kami kesal dengan tindakan keras yang bakal dikenakan oleh pihak berkuasa penjajah terhadap umat Islam yang datang ke Masjid Al-Aqsa,” kata Sabri kepada Anadolu.

Beliau berkata: “Pihak berkuasa Israel telah melarang puluhan pemuda daripada memasuki masjid dan mengumumkan bahawa mereka tidak akan melonggarkan sekatan semasa Ramadan bagi jemaah yang datang dari Tebing Barat yang diduduki.”

“Ini bermakna akan ada sekatan yang lebih ketat. Bilangan jemaah di Al-Aqsa akan lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini bercanggah dengan kebebasan beribadat dan mengganggu umat Islam dalam menjalankan ibadah puasa,” kata Sabri.

Ratusan ribu warga Palestin dari Tebing Barat biasanya akan ke timur Baitulmuqaddis semasa Ramadan untuk solat di Masjid Al-Aqsa.

Bagaimanapun, sejak perang bermula pada 7 Okt 2023, pihak berkuasa Israel telah memperketat sekatan di pusat pemeriksaan tentera, sekali gus mengehadkan akses penduduk Tebing Barat ke Baitulmuqaddis.

Sejak dua tahun lepas, hanya sebilangan kecil yang menerima permit yang dikeluarkan oleh tentera Israel, yang menurut warga Palestin amat sukar untuk diperoleh.

Pihak berkuasa setakat ini belum mengumumkan sebarang pengaturan khas bagi sambutan Ramadan tahun ini.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan