DUNIA > BERITA

BAPA DI GAZA GALI SISA RUNTUHAN CARI JASAD KELUARGA YANG TERKORBAN SERANGAN ISRAEL

15/02/2026 10:49 AM

BANDAR GAZA, 15 Feb (Bernama-Anadolu) -- Di atas timbunan pasir dan konkrit yang musnah, yang suatu ketika dahulu menjadi tapak rumah enam tingkatnya di Bandar Gaza, Mahmoud Hammad tekun menggali sisa runtuhan, mencari jasad isteri dan anak-anaknya yang terkorban di bawah timbunan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Berbekalkan hanya penyodok kecil dan ayak logam, bapa berusia 45 tahun itu menapis pasir dengan tangan, berharap dapat menemukan serpihan tulang bagi membolehkannya mengebumikan keluarganya dengan sempurna.

“Tanpa jentera, inilah yang kami ada,” katanya sambil mengangkat ayak tersebut.

Rumah Hammad di kawasan kejiranan Sabra musnah pada 6 Dis 2023 ketika pengeboman hebat Israel apabila sebutir bom seberat kira-kira 2,000 paun (907 kilogram) mengenai bangunan itu ketika keluarganya berada di dalamnya.

Beliau kehilangan isteri, enam anak, abangnya, isteri abang serta empat anak mereka.

Hammad terselamat namun mengalami kecederaan parah termasuk patah beberapa tulang rusuk serta kecederaan pada bahu dan pelvis. Selepas beberapa bulan menjalani pemulihan separa, beliau kembali ke lokasi berkenaan untuk mencari tinggalan jasad keluarganya.

“Saya mahu mengebumikan mereka dengan sempurna,” katanya.

Dengan bantuan jiran, beliau berjaya mengeluarkan dan mengebumikan abang serta keluarga abangnya, namun jasad isteri dan anak-anaknya masih tertimbus di bawah lapisan runtuhan yang mengeras.

“Saya kumpulkan apa yang mampu, sedikit demi sedikit,” katanya.

Hampir 9,500 rakyat Palestin dilaporkan masih hilang di bawah bangunan yang musnah di seluruh wilayah itu, menurut anggaran rasmi di Gaza.

Pegawai berkata usaha mengeluarkan mangsa terjejas teruk akibat kekurangan jentera berat untuk membersihkan runtuhan. Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober, pihak berkuasa memaklumkan kemasukan jentera berskala besar masih terhad, sekali gus mengehadkan keupayaan pasukan penyelamat mencapai jasad yang tertimbus.

Pasukan pertahanan awam berulang kali memberi amaran bahawa semakin lama runtuhan tidak dibersihkan, semakin sukar untuk mengeluarkan tinggalan jasad mangsa.

Hammad berkata isterinya sedang hamil dan hampir bersalin ketika serangan itu berlaku, ketika perkhidmatan perubatan di Gaza lumpuh akibat tekanan perang.

“Isteri saya dan anak dalam kandungan kami meninggal dunia bersama,” katanya.

Sejak Disember, Gaza dilanda ribut berulang kali yang menyebabkan lebih ramai keluarga kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di penempatan sementara selepas rumah mereka musnah.

Bagi Hammad, tumpuannya tetap pada runtuhan di hadapannya.

Setiap hari beliau kembali menapis debu dan serpihan konkrit, didorong oleh tanggungjawab yang disifatkannya sebagai amanah terakhir.

“Mereka berhak dikebumikan dengan bermaruah,” katanya.

Sekurang-kurangnya 591 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 1,598 lagi cedera dalam serangan Israel sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Perang Israel ke atas Gaza yang bermula pada 8 Okt 2023 dan berlarutan selama dua tahun telah mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin serta mencederakan lebih 171,000 yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan