DUNIA > BERITA

MENTERI LUAR IRAN ADAKAN RUNDINGAN NUKLEAR DENGAN OMAN DAN KETUA IAEA DI GENEVA

16/02/2026 06:37 PM

ISTANBUL, 16 Feb (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata pada Isnin bahawa beliau akan mengadakan rundingan nuklear di Geneva bersama Menteri Luar Oman Badr Albusaidi dan Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Mariano Grossi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu hantaran di platform X, Araghchi berkata beliau akan bertemu Grossi, diiringi pakar nuklear, bagi mengadakan “perbincangan teknikal mendalam”, serta mengadakan pertemuan dengan Albusaidi sebelum rundingan tidak langsung dengan Amerika Syarikat (AS).

“Saya berada di Geneva dengan idea sebenar untuk mencapai perjanjian yang adil dan saksama,” kata Araghchi, sambil menambah bahawa “tunduk kepada ancaman bukanlah satu pilihan,” sekali gus memberi isyarat pendirian Tehran ketika rundingan diteruskan.

Araghchi berlepas dari Tehran pada Ahad ke Geneva bagi menyertai pusingan kedua rundingan nuklear tidak langsung dengan AS. Pusingan terdahulu diadakan di Muscat, ibu negara Oman, pada 6 Feb, lebih lapan bulan selepas perang Iran-Israel selama 12 hari pada Jun 2025 menjejaskan usaha diplomatik.

Turkiye dan beberapa negara serantau lain baru-baru ini campur tangan bagi membantu meredakan ketegangan dan menghidupkan semula saluran diplomatik, khususnya selepas Presiden AS Donald Trump mengancam untuk menggunakan tindakan ketenteraan terhadap Iran.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan