DUNIA > BERITA

TRUMP JANJI KELUARKAN VIETNAM DARIPADA SENARAI KAWALAN EKSPORT STRATEGIK

22/02/2026 04:36 PM

ISTANBUL, 22 Feb (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berikrar untuk mengarahkan agensi berkaitan supaya segera mengeluarkan Vietnam daripada “senarai kawalan eksport strategik” semasa pertemuan dengan To Lam, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, di Washington pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut kenyataan dari Hanoi pada Sabtu, To Lam menekankan kepentingan yang diberikan Hanoi untuk memajukan Perkongsian Strategik Menyeluruh Vietnam-AS secara “stabil, substantif dan berkesan.”

Beliau mencadangkan kedua-dua negara meningkatkan pertukaran delegasi dan hubungan peringkat tinggi.

Beliau menekankan “keperluan untuk dialog yang jujur dan substantif mengenai isu-isu tertunggak, berdasarkan kepentingan yang seimbang dan selaras dengan syarat dan kepentingan sah setiap pihak, serta demi manfaat perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.”

Trump pula menurut kenyataan itu, “menzahirkan kasih sayangnya terhadap rakyat Vietnam dan menegaskan bahawa AS komited untuk menyokong Vietnam yang ‘kuat, bebas, berdikari, dan sejahtera’.”

Beliau turut menghargai usaha Vietnam menyeimbangkan perdagangan dua hala dan menyambut baik kontrak berharga yang ditandatangani semasa lawatan itu. Trump memberi respons positif terhadap cadangan Vietnam untuk kerjasama dalam bidang ekonomi serta sains dan teknologi.

“AS menganggap Vietnam sebagai rakan penting di rantau ini,” menurut kenyataan itu memetik Trump, sambil menambah beliau memuji “peranan dan suara Vietnam yang semakin menonjol di forum serantau dan pelbagai hala.”

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan