PHNOM PENH, 22 Feb (Bernama) -- Myanmar menafikan dakwaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa keganasan seksual berkaitan konflik telah meningkat di negara itu sejak rampasan kuasa tentera hampir lima tahun lalu.
Kerajaan menafikan dakwaan Wakil Khas Setiausaha Agung PBB bagi Keganasan Seksual Dalam Konflik bahawa jenayah seksual berleluasa dilakukan oleh kumpulan yang terlibat dalam konflik sivil yang sedang berlaku, termasuk tentera dan kumpulan bersenjata etnik.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Myanmar bagi Pencegahan dan Tindakan Terhadap Keganasan Seksual Dalam Konflik, kerajaan menyifatkan dakwaan itu berat sebelah dan bermotif politik.
“Kenyataan PBB mengandungi maklumat yang belum disahkan dan bergantung kepada dakwaan sebelah pihak daripada mekanisme seperti Mekanisme Siasatan Bebas Myanmar yang dikatakan.
“Ini nampaknya merupakan tekanan bermotif politik yang bertujuan menjejaskan imej dan maruah Negara. Oleh itu, Myanmar dengan tegas menolak kenyataan ini,” menurut kenyataan itu, yang diterbitkan oleh media kerajaan, The Global New Light of Myanmar, pada Ahad.
Sejak tentera menyingkirkan kerajaan awam pada 2021, sebahagian negara itu bergolak akibat konflik bersenjata, menyebabkan kira-kira 3.5 juta orang terpaksa berpindah, menurut laporan PBB.
Pada 2 Feb, Wakil Khas badan PBB, Pramila Patten, mengeluarkan kenyataan media mengecam dakwaan jenayah keji yang dilakukan sebagai taktik peperangan, penindasan politik dan strategi untuk menghukum serta menakutkan rakyat.
“Skala dan kekejaman keganasan seksual yang berlaku di Myanmar amat menakutkan,” kata Patten.
Menjawab dakwaan itu, kerajaan berkata sebagai anggota PBB, ia komited untuk mematuhi piawaian antarabangsa bagi pencegahan keganasan seksual dalam konflik.
“Tatmadaw (angkatan tentera) dan pasukan keselamatan telah mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang kesalahan, termasuk keganasan seksual, dan semua pesalah akan diambil tindakan di bawah undang-undang sedia ada,” menurut jawatankuasa kebangsaan itu, dipetik media kerajaan.
Kerajaan melancarkan talian bantuan kebangsaan pada 2022 untuk mencegah keganasan seksual.
Pihak berkuasa telah menerima lebih 2,300 kes keganasan seksual dari 2017 hingga Januari tahun ini, yang tidak berkaitan konflik, dan tindakan sedang diambil.
Pusat Sokongan Wanita Sehenti juga beroperasi di seluruh negara bagi menangani jenayah sedemikian, menurut kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial