DUNIA > BERITA

KOREA SELATAN ADAKAN MESYUARAT PENYELARASAN DASAR BERHUBUNG TARIF AS

22/02/2026 04:45 PM

SEOUL, 22 Feb (Bernama-Yonhap) -- Pegawai kanan Pejabat Presiden, kerajaan dan Parti Demokratik yang memerintah Korea Selatan akan bermesyuarat pada Ahad bagi membincangkan penyelarasan dasar susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membatalkan tarif global “timbal balas” yang diperkenalkan Presiden AS Donald Trump, lapor Agensi Berita Yonhap.

Mesyuarat itu, yang dipengerusikan Ketua Staf Presiden bagi Dasar Kim Yong-beom dan Penasihat Keselamatan Negara Wi Sung-lac, akan diadakan selepas mahkamah tertinggi memutuskan menolak tarif kecemasan menyeluruh itu pada Jumaat, yang mendorong Trump mengumumkan tarif global baharu.

Pegawai kanan lain yang dijadual menghadiri mesyuarat termasuk Menteri Kewangan Koo Yoon-cheol, Menteri Perindustrian Kim Jung-kwan, Menteri Perdagangan Yeo Han-koo dan Ketua Whip Parti Demokratik Han Byung-do.

Mereka dijangka membincangkan langkah tindak balas terhadap tindakan susulan pentadbiran Trump ekoran keputusan mahkamah, serta status projek pelaburan Korea Selatan di AS.

Beberapa jam selepas keputusan pada Jumaat, Trump menandatangani perisytiharan untuk mengenakan tarif global sementara sebanyak 10 peratus di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, yang menurut Rumah Putih akan berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam Selasa (waktu Washington).

Pada Sabtu, Trump mengumumkan kadar tarif global baharu itu akan dinaikkan kepada 15 peratus menerusi hantaran di platform Truth Social.

Pentadbiran Trump sebelum ini mengenakan tarif timbal balas sebanyak 15 peratus ke atas barangan Korea Selatan, berbanding 25 peratus sebelum ini, susulan perjanjian dua hala yang menyaksikan Seoul komited melabur US$350 bilion di AS, antara janji lain, sebagai balasan kepada pengurangan tarif itu.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan