KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Sebanyak 12 syarikat Austria akan mengambil bahagian dalam Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 pada April ini, kata Duta Besar Austria ke Malaysia Gerhard Eisl.
Beliau berkata Pavilion Austria akan kembali ke DSA dengan sokongan padu daripada industri pertahanan dan keselamatan negara itu, menampilkan trend dan penyelesaian terkini dalam sektor keselamatan dan pertahanan.
“Ia akan menjadi penyertaan terbesar berbanding sebelum ini. Antara syarikat yang akan datang ke DSA 2026 ialah Glock Gessellschaft MBH, Hirtenberger Defense Europe GMBH dan Steyr Arms GMBH," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program The Nation's Diplomatic Dispatch Bernama TV.
DSA 2026 dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 23 April ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Terdahulu dalam program berkenaan, Eisl berkata Malaysia menonjol sebagai pasaran yang menarik untuk Austria dalam kalangan negara Asia Tenggara lain kerana mempunyai tenaga kerja mahir, berpendidikan tinggi dan bahasa Inggeris digunakan secara meluas.
“Kerana ia sangat membantu apabila anda membina kilang di sini, anda tahu anda boleh bercakap dengan semua orang dalam bahasa Inggeris," katanya.
Eisl menambah bahawa satu lagi tarikan Malaysia ialah kepusatan pasarannya, menjadikannya mudah untuk meliputi seluruh rantau ASEAN malah Asia Pasifik.
Duta itu juga memaklumkan bahawa pegawai Austria akan melawat Malaysia pada April dan antara sektor yang akan dibincangkan ialah dasar luar dan perdagangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial