DUNIA > BERITA

KONFLIK BERSENJATA, PERSAINGAN KUASA BESAR ANTARA CABARAN PELAN KEMENTERIAN LUAR 2026-2030

23/02/2026 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Luar mengenal pasti tujuh isu dan cabaran utama dalam merangka Pelan Strategik 2026-2030, termasuk konflik bersenjata, persaingan kuasa besar dan penggunaan ekonomi sebagai senjata antara lain sebagai kebimbangan utama dalam membentuk hala tuju dasar luar negara.

 Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan tekanan keselamatan semakin meningkat susulan ketegangan yang memuncak akibat pertikaian sempadan dan maritim yang bertindih, khususnya dalam persekitaran global yang menyaksikan ketidakstabilan serantau, krisis kemanusiaan berterusan serta kesan berpanjangan pendudukan haram dan pelanggaran terang-terangan terhadap keutuhan wilayah.

Menurut Pelan Strategik 2026-2030 yang dilancarkan pada Isnin, dinamik itu berisiko menormalisasikan konfrontasi, menghakis pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa serta mengancam akses kepada sumber penting.

“Trend persenjataan semula ketika ini muncul sebagai cabaran global yang kritikal, mencetuskan ketidakstabilan serantau, meningkatkan risiko konflik bersenjata serta mengalihkan sumber daripada keutamaan kemanusiaan dan pembangunan,” menurut dokumen itu.

Dalam persekitaran sedemikian, dokumen berkenaan menyatakan diplomasi menjadi lemah dan keupayaan tindak balas krisis semakin terhad.

Sehubungan itu, Kementerian Luar akan mempertingkatkan kesiapsiagaan krisis untuk rakyat Malaysia di luar negara, termasuk penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP), dana kecemasan serta bantuan konsular sebagai antara strategi bagi menangani cabaran berkenaan.

Sementara itu, Wisma Putra dalam pelan strategik berkenaan menyatakan bahawa persaingan antara kuasa besar semakin membentuk landskap serantau, dengan negara kecil sering terperangkap dalam arus persaingan strategik.

“Dinamik ini berisiko menjejaskan autonomi dalam membuat keputusan di samping mencabar kerjasama dan kestabilan serantau,” katanya sambil memberi amaran bahawa kebergantungan berlebihan kepada beberapa rakan kongsi luar menjejaskan daya tahan serta menghalang usaha mencapai dasar luar yang seimbang dan bebas.

Penggunaan ekonomi sebagai senjata turut dikenal pasti sebagai ancaman yang semakin meningkat kepada ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan, dengan perdagangan global semakin terdedah kepada ketegangan geopolitik, manakala gangguan mengancam rantaian bekalan serta kestabilan pasaran.

Menurut dokumen itu, kebergantungan berlebihan kepada kuasa ekonomi utama untuk perdagangan dan pelaburan menambah risiko berkenaan serta mengehadkan fleksibiliti dan daya tahan ekonomi, manakala trend pemindahan semula operasi ke negara asal serta kepelbagaian lokasi operasi dalam kalangan industri global menimbulkan cabaran terhadap daya saing apabila syarikat mengalihkan semula pengeluaran ke pasaran domestik atau hab alternatif.

Bagi menangani cabaran itu, Malaysia akan memperluas dan mempelbagaikan hubungan perdagangan dan pelaburan bagi meningkatkan daya tahan serta melindungi kedaulatan ekonomi selain mempercepat perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Kekurangan sumber akibat perubahan iklim turut dikenal pasti sebagai satu lagi cabaran mendesak. Kementerian Luar memerhatikan bahawa persaingan yang meningkat terhadap sumber terhad seperti makanan, air dan tenaga menambah tekanan terhadap kestabilan nasional dan serantau.

“Perubahan iklim memburukkan lagi kerentanan ini, mendorong perpindahan penduduk dan ketidakstabilan yang merentasi sempadan,” menurut dokumen itu sambil menambah bahawa kerjasama serantau dalam penyesuaian masih terhad, sekali gus menghalang daya tahan kolektif serta keupayaan bertindak balas secara berkesan terhadap cabaran alam sekitar bersama.

Selain empat kebimbangan utama itu, pelan strategik berkenaan turut menggariskan cabaran yang timbul daripada keganasan rentas sempadan, ekstremisme ganas dan jenayah rentas sempadan; perkembangan pesat teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI); serta transformasi institusi global dan struktur tadbir urus.

Tujuh isu dan cabaran itu secara keseluruhan membentuk latar belakang strategik yang menjadi asas pelaksanaan dasar luar Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2030 ketika Wisma Putra berusaha melindungi kedaulatan negara, memperkukuh daya tahan dan meningkatkan peranan Malaysia dalam landskap antarabangsa yang semakin kompleks.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan