WASHINGTON, 23 Feb (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin memberi amaran yang mana-mana negara yang cuba mengambil kesempatan terhadap keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat berhubung tarif akan berdepan levi yang jauh lebih tinggi, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Mana-mana negara yang mahu ‘terlibat dalam permainan’ berikutan keputusan Mahkamah Agung yang tidak masuk akal itu, khususnya mereka yang ‘memperdaya’ AS selama bertahun-tahun, malah berdekad-dekad, akan dikenakan tarif yang jauh lebih tinggi dan lebih buruk daripada yang baru sahaja mereka persetujui,” kata Trump di platform media sosial Truth Social.
Mahkamah Agung minggu lepas memutuskan yang undang-undang yang digunakan Trump untuk mengenakan sebahagian tarifnya tidak memberikan kuasa sedemikian kepadanya, kerana Perlembagaan menetapkan hanya Kongres mempunyai hak itu.
Trump menyifatkan keputusan itu sebagai memalukan, sambil berkata beliau mempunyai pelan sandaran dan berjanji akan mengekalkan semua tarif berkaitan keselamatan negara.
Beliau juga berkata pada Isnin yang Mahkamah Agung secara “tidak sengaja” memberinya lebih banyak kuasa berhubung tarif berbanding sebelum keputusan itu dibuat.
Dalam laporan berasingan mengenai perkara sama, Sputnik/RIA Novosti turut memetik Trump sebagai berkata beliau tidak perlu merujuk semula kepada Kongres AS untuk mendapatkan kelulusan bagi mengenakan tarif import.
“Sebagai Presiden, saya tidak perlu kembali kepada Kongres untuk mendapatkan kelulusan tarif,” katanya di Truth Social.
Menurutnya, kebenaran itu telah diperoleh dalam pelbagai bentuk sejak sekian lama.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial