DUNIA > BERITA

USAHA TARIK PELANCONG INDIA SEMAKIN GIAT, TOURISM MALAYSIA SASAR KENAIKAN HINGGA 33 PERATUS

24/02/2026 09:01 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, Feb 24 (Bernama) -- Usaha promosi Tourism Malaysia semakin giat di India sempena kempen global Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang kini berlangsung dengan sasaran ketibaan pelancong dari negara itu sehingga 33 peratus.

India muncul sebagai pasaran penting berikutan dasar bebas visa Malaysia untuk pelancong dari negara Asia Selatan itu dan trend pertumbuhan dijangka berterusan, kata pegawai Tourism Malaysia di New Delhi pada Selasa.

Jumlah pelawat India ke Malaysia tahun lepas meningkat 14.6 peratus kepada kira-kira 1.5 juta dan tahun ini dilihat boleh melepasi dua juta.

Peningkatan pelancong dari India disokong oleh 240 penerbangan mingguan yang menghubungkan Malaysia ke bandar-bandar utama di India, kata pengarah kanan Tourism Malaysia Nuwal Fadhilah Ku Azmi pada sidang media menjelang pameran tiga hari South Asia Travel and Tourism Exchange (SATTE).

Sebanyak 55 pemain industri pelancongan Malaysia termasuk hotel agensi pelancongan dan agensi pelancongan negeri menyertai pameran pelancongan pada 25 hingga 27 Feb itu.

Sambil mengetengahkan trend berkenaan, beliau berkata ramai pelancong India pergi ke Malaysia pada saat-saat akhir kerana kemasukan tanpa visa dan semakin ramai menerokai destinasi di luar Kuala Lumpur.

Dengan kos penganjuran acara yang jauh lebih rendah, Malaysia sedang berusaha untuk mempopularkan dirinya sebagai destinasi untuk majlis perkahwinan dan perniagaan India, kata Nuwal.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa, Pengarah Pejabat Tourism Malaysia New Delhi Ahmad Johanif Mohd Ali dan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy turut berucap pada acara media itu.

Manoharan berkata kalendar acara Malaysia tahun ini menampilkan lebih 300 perayaan dan aktiviti dan agensi itu berminat untuk memperkenalkannya kepada pelancong India.

Tourism Malaysia awal bulan ini mengambil bahagian dalam pameran Outbound Travel Mart (OTM) di Mumbai dan menganjurkan jerayawara di Visakhapatnam, Coimbatore dan Bengaluru di selatan India dari 5 hingga 14 Feb untuk mengukuhkan penglibatannya dengan industri pelancongan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan