DUNIA > BERITA

ANGKA KORBAN BERIKUTAN HUJAN RIBUT DI BRAZIL MENINGKAT KEPADA 46 ORANG

26/02/2026 06:26 PM

RIO DE JANEIRO, 26 Feb (Bernama-Xinhua) -- Angka korban akibat hujan lebat di negeri Minas Gerais, tenggara Brazil meningkat kepada 46 orang, manakala 21 lagi masih hilang setakat ini pada Rabu, lapor Xinhua.

Bandar paling teruk terjejas, Juiz de Fora, mencatatkan 40 kematian sementara kawasan perbandaran jiran, Uba, melaporkan enam mangsa terkorban.

Pihak berkuasa memaklumkan 19 individu masih hilang di Juiz de Fora manakala dua lagi di Uba.

Kira-kira 3,000 penduduk di Juiz de Fora dan 26 di Uba dilaporkan hilang tempat tinggal, manakala masing-masing 400 dan 178 penduduk telah dipindahkan berikutan risiko tanah runtuh serta banjir.

Pihak berkuasa perbandaran di Juiz de Fora dan Matias Barbosa telah mengisytiharkan darurat bagi membolehkan akses kepada sumber persekutuan serta mempercepatkan tindak balas kecemasan.

Sesi persekolahan di seluruh sekolah perbandaran turut ditangguhkan.

Hujan lebat yang semakin memuncak sejak petang Isnin menyebabkan air sungai melimpah, mengakibatkan penutupan jambatan dan laluan bawah, selain kejadian pokok tumbang serta jalan raya yang terhalang.

Februari menjadi bulan paling lembap dalam rekod di Juiz de Fora dengan kadar taburan hujan melebihi dua kali ganda sejarah purata.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menyatakan solidariti kepada mangsa dan pasukan penyelamat, manakala Gabenor Minas Gerais Romeu Zema mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari di negeri itu.

Kementerian Pertahanan kini menyokong usaha kecemasan melalui penempatan tentera untuk kerja pembersihan, pengalihan sisa runtuhan, bantuan logistik, penyediaan pusat perlindungan sementara serta operasi kemanusiaan menggunakan helikopter.

--BERNAMA-XINHUA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan