SINGAPURA, 27 Feb (Bernama) -- Singapura masih menilai jemputan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai secara rasmi Lembaga Keamanan, kata Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.
Berucap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan 2026 di Parlimen pada Jumaat, Balakrishnan berkata buat masa ini, kerajaan akan terus meneroka inisiatif, termasuk yang diumumkan baru-baru ini pada mesyuarat sulung Lembaga Keamanan pada 19 Feb 2026.
"Singapura akan terus memainkan peranan membina dalam usaha mencapai keamanan dan pembinaan semula di Gaza," katanya pada Jumaat.
Balakrishnan menegaskan semula pendirian lama Singapura terhadap Palestin bahawa satu-satunya jalan ke arah keamanan yang adil dan kekal adalah melalui penyelesaian dua negara secara rundingan yang selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang berkaitan.
"Kami menentang percubaan untuk mewujudkan fakta baharu di lapangan yang menjejaskan prospek penyelesaian dua negara, dan merupakan pendirian konsisten kami bahawa penempatan Israel di Tebing Barat adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa," tambahnya.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau menekankan bahawa kerajaan Singapura akan melakukan lebih lagi untuk meringankan penderitaan di Gaza memandangkan republik itu mempunyai hubungan diplomatik yang luas di seluruh Timur Tengah.
"Kami telah menghantar 11 fasa bantuan kemanusiaan berjumlah lebih S$25 juta (kira-kira RM77 juta) untuk membantu orang awam di Gaza setakat ini.
“Anda tahu usaha kutipan dana ini masih diteruskan, dan bukan sekadar wang, rakyat Singapura turut tampil secara sukarela menawarkan khidmat profesional mereka untuk membantu di lapangan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial