DUNIA > BERITA

JEPUN PERTIMBANG HAD DUA BANK KUASA BAGI SETIAP PENUMPANG DALAM PENERBANGAN

27/02/2026 10:56 PM

TOKYO, 27 Feb (Bernama-Kyodo) -- Penumpang pesawat mungkin akan dihadkan kepada dua bank kuasa setiap seorang dan diminta tidak menggunakannya semasa dalam penerbangan di bawah cadangan peraturan lebih ketat bagi mencegah kebakaran susulan beberapa insiden, lapor Kyodo News yang memetik kementerian pengangkutan Jepun pada Jumaat.

Menurut draf cadangan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan, penumpang dibenarkan membawa sehingga dua bateri mudah alih berkapasiti 160 watt-jam atau kurang, termasuk bateri gantian untuk kamera dan peranti lain, tanpa had bagi bateri gantian berkapasiti 100 watt-jam atau kurang.

Selain meminta agar bank kuasa tidak digunakan semasa penerbangan, penumpang juga dilarang mengecasnya menggunakan soket kuasa dalam pesawat.

Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dijangka menerima pakai peraturan serupa seawal bulan depan.

Kementerian itu merancang untuk meminda peraturan domestik pada pertengahan April, dengan maklum balas awam diterima sehingga 30 Mac.

Kebakaran yang berlaku pada Januari 2025 dalam pesawat tambang murah yang dikendalikan oleh Air Busan dipercayai berpunca daripada bank kuasa yang rosak.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan