PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Iran serta serangan balas berikutnya terhadap beberapa negara di rantau itu iaitu Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar pada Sabtu (28 Feb).
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa serangan itu melanggar prinsip kedaulatan dan keutuhan wilayah, serta larangan penggunaan kekerasan di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.
“Tindakan ketenteraan seperti ini berisiko menambah ketidakstabilan di wilayah yang sudah rapuh dan membahayakan nyawa orang awam.
“Pada saat kritikal ini, semua usaha mesti diambil untuk mengelakkan peningkatan ketegangan dan potensi implikasi yang menjejaskan kestabilan serantau dan membawa kesan global yang lebih luas,” menurut Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.
Malaysia menegaskan bahawa setiap pertikaian mesti diselesaikan melalui dialog dan diplomasi, dengan menghormati undang-undang antarabangsa sepenuhnya.
Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi menangani perbuatan ini serta memastikan mereka yang bertanggungjawab diadili mengikut undang-undang antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial