DUNIA > BERITA

RAKYAT MALAYSIA TERKANDAS DI UAE DINASIHATKAN BUAT PENGESAHAN TERUS URUSAN PEMBAYARAN

05/03/2026 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Dubai mengingatkan rakyat Malaysia yang terkandas di Emiriah Arab Bersatu (UAE) supaya membuat pengesahan terus dengan pihak hotel serta syarikat penerbangan masing-masing mengenai sebarang urusan pembayaran. 

Dalam satu kenyataan, KJM di Dubai berkata pihaknya mengambil maklum laporan daripada beberapa rakyat Malaysia bahawa walaupun telah diumumkan kos penginapan hotel bagi penumpang yang terkandas akan ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan, pihak hotel masih mengenakan bayaran bagi lanjutan penginapan. 

“Rakyat Malaysia di Dubai dan Emiriah Utara dinasihatkan untuk terus berwaspada, mengikuti pengumuman rasmi pihak berkuasa UAE dan Konsulat, dan membuat perancangan sewajarnya sekiranya perlu melanjutkan tempoh penginapan.

“Ini termasuklah mempertimbangkan pilihan penginapan alternatif yang lebih berpatutan sekiranya perlu,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, KJM di Dubai berkata ia sedang menyelaras dengan syarikat penerbangan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas.

“Walaupun operasi komersial penuh oleh syarikat penerbangan masih belum kembali sepenuhnya, beberapa penerbangan terhad telah mula beroperasi yang memberi keutamaan kepada penumpang yang terkandas. 

“Semua penumpang yang terkandas dinasihati untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan status terkini,” menurut kenyataan itu. 

Situasi di Timur Tengah tegang sejak Sabtu lepas (28 Februari) apabila Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran menyebabkan Iran melakukan serangan balas terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Perkembangan ini menyaksikan negara Teluk menutup ruang udara atau membenarkan laluan penerbangan terhad menyebabkan syarikat penerbangan yang berpangkalan di rantau berkenaan menggantung operasi dan ribuan penumpang dari pelbagai negara terkandas. 

KJM di Dubai sedang memantau perkembangan situasi semasa di Dubai dan Emiriah Utara berikutan ketegangan serantau  yang sedang berlaku. 

“Berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan, keadaan keselamatan di Dubai adalah stabil dan aktiviti harian berjalan seperti biasa,” menurut kenyataan itu. 

Kini, kira-kira 8, 500 rakyat Malaysia berada di UAE termasuk yang menetap, transit atau terkandas akibat gangguan penerbangan dan kesemua mereka yang telah berhubung dengan Perwakilan Malaysia dilaporkan selamat.

Pada Rabu, Duta Besar Malaysia ke UAE Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin berkata perwakilan Malaysia di Abu Dhabi dan KJM di Dubai beroperasi 24 jam setiap hari dan terus memantau keadaan dengan sangat rapat. 

Bagi sebarang bantuan konsular atau kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi talian telefon +971 4 398 5843 / 5847 (waktu pejabat) atau talian kecemasan +971 50 737 9196 (telefon dan Whatsapp) atau e-mel: dxb.cons@kln.gov.my / mwdubai@kln.gov.my

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan