DUNIA > BERITA

THAILAND GANTUNG EKSPORT BAHAN API CEGAH KEKURANGAN BEKALAN SUSULAN KETEGANGAN TIMUR TENGAH

07/03/2026 02:13 AM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 6 Mac (Bernama) -- Kerajaan Thailand pada Jumaat mengarahkan penggantungan segera eksport bahan api bagi mencegah potensi kekurangan bekalan susulan ketegangan yang semakin meruncing di Timur Tengah sehingga mengganggu laluan tenaga global.

Warta Diraja menerbitkan perintah perdana menteri yang mewajibkan pedagang minyak yang dikawal selia di bawah undang-undang berkaitan perdagangan bahan api supaya menggantung sementara eksport beberapa jenis bahan api sehingga diberitahu kelak.

Menurut Warta Diraja bertarikh 6 Mac, ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah boleh menjejaskan bekalan bahan api Thailand, selain adalah mustahil untuk meramalkan bila konflik itu akan berakhir.

“Penggantungan eksport itu meliputi produk petroleum bertapis termasuk petrol, gasohol, diesel kelajuan tinggi dan bahan api penerbangan Jet A-1, serta gas petroleum cecair (LPG),” menurut kenyataan itu.

Bagi mencegah dan menangani potensi kekurangan bekalan bahan api, perdana menteri mengeluarkan perintah itu di bawah Seksyen 3 Dekri Darurat mengenai Pembetulan dan Pencegahan Kekurangan Bahan Api 1973.

Perintah itu juga menghendaki pedagang minyak di bawah Seksyen 7 Akta Perdagangan Bahan Api 2000 supaya mengekalkan simpanan produk petroleum bertapis yang dihasilkan dalam negara pada kadar 1.5 peratus mulai 31 Mac 2026 dan tiga peratus mulai 30 April 2026.

Perintah itu berkuat kuasa dari tarikh penerbitannya dalam Warta Diraja.

Sementara itu, kerajaan Thailand menubuhkan Pusat Pentadbiran dan Pemantauan Situasi Pertempuran di Timur Tengah (CABM) sebagai sebahagian usaha mengurangkan potensi kesan daripada konflik yang sedang berlaku di rantau itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa perdana menteri sementara Anutin Charnvirakul akan berkhidmat sebagai penasihat kepada pusat itu, manakala Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan akan bertindak sebagai pengarah, dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan akan berkhidmat sebagai timbalan pengarah.

Peranan pusat itu termasuk memastikan pelaksanaan langkah secara berkesan bagi menangani kesan konflik di Timur Tengah, menyelia, mengurus dan memantau perkembangan berkaitan konflik serta mencadangkan garis panduan dan langkah bagi mengurangkan kesannya.

CABM juga diberi kuasa mengarahkan agensi kerajaan dan perusahaan milik negara supaya menyelaras serta melaksanakan operasi dalam skop tugas undang-undang masing-masing, selain menyebarkan maklumat yang tepat dan berfakta kepada orang ramai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan