DUNIA > BERITA

323 RAKYAT MALAYSIA DI QATAR DAFTAR UNTUK DIBAWA PULANG, PENERBANGAN DIJANGKA MINGGU DEPAN

07/03/2026 01:57 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Seramai 323 rakyat Malaysia di Qatar telah mendaftar untuk menyertai usaha membawa pulang secara sukarela yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia setakat ini, manakala mereka yang berminat masih boleh mendaftar sebelum senarai akhir peserta dimuktamadkan pada Sabtu.

Duta Besar Malaysia ke Qatar Mohd Faizal Razali berkata penerbangan pertama yang membawa rakyat Malaysia pulang ke tanah air dijangka berlepas melalui Riyadh, Arab Saudi seawal Isnin atau Selasa, walaupun jadualnya masih belum dimuktamadkan.

“Setakat malam ini, kira-kira 323 rakyat Malaysia telah mengisi borang menyatakan minat untuk pulang ke Malaysia melalui inisiatif kerajaan ini,” katanya semasa taklimat dalam talian bersama rakyat Malaysia di Qatar.

Beliau berkata Kedutaan Besar Malaysia di Doha sedang menyelaraskan urusan membawa pulang rakyat Malaysia di negara itu dengan bantuan Persatuan Malaysia di Qatar (MAQ) serta beberapa penyelaras komuniti.

Mohd Faizal menegaskan bahawa usaha membawa pulang itu adalah secara sukarela dan menambah bahawa rakyat Malaysia yang ingin mengambil peluang berkenaan digalakkan berbuat demikian kerana satu lagi operasi penghantaran pulang berkemungkinan besar tidak akan dianjurkan selepas ini.

“Rakyat Malaysia yang berminat menyertai usaha membawa pulang ini masih boleh mendaftar dengan mengisi borang yang disediakan oleh pihak kedutaan atau menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Doha, dengan jumlah akhir peserta dijangka disahkan pada Sabtu,” katanya.

Mohd Faizal berkata rancangan itu melibatkan pengangkutan rakyat Malaysia dengan bas dari Doha ke sempadan Abu Samra, diikuti proses pelepasan imigresen memasuki Arab Saudi melalui sempadan Salwa sebelum meneruskan perjalanan ke Riyadh.

“Perjalanan darat dari Doha ke Riyadh dijangka mengambil masa kira-kira 12 jam termasuk proses pelepasan imigresen di kedua-dua pusat pemeriksaan sempadan,” katanya sambil menambah bahawa bas yang diperlukan untuk operasi itu telah pun disediakan.

Beliau berkata butiran lanjut termasuk lokasi perhimpunan di Doha dan pengaturan penginapan di Riyadh dijangka dimuktamadkan serta dikongsi dengan rakyat Malaysia menjelang Sabtu ketika kedutaan terus menyelaraskan persiapan logistik dengan pihak berkuasa berkaitan.

Kerajaan Malaysia juga sedang berusaha mendapatkan penerbangan khas dari Riyadh ke Kuala Lumpur, dengan beberapa syarikat penerbangan telah dihubungi bagi memudahkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang menyertai operasi membawa pulang itu boleh membawa bersama pasangan mereka, termasuk pasangan bukan warganegara Malaysia serta pembantu rumah dari negara-negara ASEAN.

Rakyat Malaysia yang menyertai usaha membawa pulang itu dinasihatkan supaya memastikan mereka memiliki pasport dengan tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan, mendapatkan e-visa Arab Saudi serta menyelesaikan sebarang urusan tertunggak di Qatar bagi mengelakkan komplikasi semasa proses imigresen di sempadan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan