DUNIA > BERITA

SETIAUSAHA PERBENDAHARAAN AS BERI AMARAN "KEMPEN PENGEBOMAN TERBESAR" TERHADAP IRAN

08/03/2026 02:45 AM

ANKARA, 7 Mac (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Scott Bessent, berkata negara itu sedang bersiap sedia melancarkan apa yang disifatkannya sebagai “kempen pengeboman terbesar” terhadap infrastruktur peluru berpandu Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan media pada Jumaat.

“Malam ini akan menjadi kempen pengeboman terbesar kami dan kami akan menyebabkan kerosakan paling besar terhadap pelancar peluru berpandu Iran serta kilang yang menghasilkan peluru berpandu itu dan kami sedang melemahkan keupayaan mereka dengan ketara” kata Bessent dalam temu bual dengan hos Larry Kudlow di rangkaian FOX Business. 

Bessent berkata Iran gagal mencapai kejayaan dari segi ketenteraan susulan apa yang disifatkannya sebagai kempen serangan AS yang “amat hebat”.

“Setelah gagal mencapai kejayaan di sana (secara ketenteraan), mereka cuba mencetuskan kekacauan ekonomi dan saya tidak fikir mereka akan berjaya melakukannya,” katanya.

Beliau turut memberi amaran yang ketegangan di sekitar Selat Hormuz boleh mengganggu pasaran tenaga global.

Kira-kira 20 peratus minyak mentah dan gas asli dunia melalui laluan perairan strategik itu, yang sebahagian besarnya berada di bawah kawalan Iran. 

“Apabila konflik bermula, syarikat insurans menggugurkan semua perlindungan insurans bagi kapal yang keluar masuk Selat Hormuz atau kawasan Teluk secara umum,” kata Bessent seperti dipetik oleh FOX Business.

Bagi menangani kebimbangan itu, Perbadanan Pembangunan Kewangan Antarabangsa AS mengumumkan yang ia akan menyediakan sehingga US$20 bilion perlindungan insurans untuk kapal yang beroperasi di kawasan itu.

“Program ini akan memberikan perlindungan insurans kepada pengendali kapal, sama ada mereka mengangkut minyak, produk petroleum atau baja,” kata Bessent.

Beliau berkata kapal mungkin mendapat pengiring tentera laut jika perlu bagi memastikan laluan di Selat Hormuz kekal selamat.

Menurutnya, pihak berkuasa kini menunggu penilaian lanjut mengenai keselamatan maritim daripada Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM).

“Kami akan menunggu maklum balas daripada CENTCOM mengenai bila laluan selamat boleh digunakan. Saya tidak tahu sama ada ia mengambil masa seminggu atau dua minggu, tetapi kami berada di landasan untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Ketegangan serantau meningkat sejak Amerika Syarikat  dan Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran pada 28 Feb, yang dilaporkan meragut nyawa lebih 1,000 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei, lebih 150 pelajar perempuan serta beberapa pegawai kanan tentera.

Iran kemudian melancarkan serangan balas besar-besaran yang menyasarkan pangkalan tentera, kemudahan diplomatik dan aset anggota tentera AS di seluruh rantau itu, selain beberapa bandar di Israel.

Serangan antara kedua-dua pihak terus meningkat sejak itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan