ISTANBUL, 11 Mac (Bernama-Anadolu) -- Serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di seluruh Lubnan sejak awal pagi Rabu meragut nyawa 20 orang dan mencederakan 26 yang lain, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan media.
Pesawat Israel turut menyerang sebuah pangsapuri di kawasan Aicha Bakkar di ibu negara Beirut, namun jumlah mangsa akibat serangan itu belum dapat dipastikan, menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA).
Menurut agensi itu, tiga orang termasuk seorang paramedik terbunuh dalam serangan Israel ke atas bandar Hanouiyeh di daerah Tyre di selatan Lubnan.
Seorang lagi terbunuh dan dua yang lain cedera dalam serangan ke atas Zellaya di wilayah Bekaa Barat di timur Lubnan, manakala seorang lagi maut dan lapan orang cedera dalam pengeboman Israel di Al-Housh di daerah Tyre.
Di bandar Qana dalam daerah yang sama, beberapa serangan udara Israel berturut-turut membunuh lima orang dan mencederakan lima yang lain, kata NNA.
Tiga lelaki muda maut di Sharqiya apabila satu serangan menyasarkan rumah tempat mereka menginap, manakala seorang lagi paramedik maut di Kfartabnit selepas serangan udara menyasarkan bandar itu, menurut agensi berkenaan.
Enam orang maut dan tujuh lagi cedera dalam serangan Israel di Chehabiyeh di Tyre, menurut stesen televisyen Al-Manar yang mempunyai kaitan dengan Hizbullah.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan empat orang cedera dalam serangan Israel ke atas bandar Tebnine di daerah Bint Jbeil di selatan Lubnan.
Serangan udara Israel mengorbankan lebih 570 orang dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal di seluruh Lubnan sejak 2 Mac, susulan serangan rentas sempadan dengan Hizbullah.
Ketegangan semakin memuncak selepas Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan bersama ke atas Iran, yang mengorbankan lebih 1,200 orang termasuk Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei.
Iran kemudian bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial