DUNIA > BERITA

CHINA KOMITED TERUSKAN USAHA PENGANTARAAN BAGI TAMATKAN KONFLIK DI ASIA BARAT

20/03/2026 04:00 PM

BEIJING, 20 Mac (Bernama-CMG) -- China sebagai sebuah kuasa besar yang bertanggungjawab serta sahabat sejati kepada negara-negara Asia Barat akan terus komited melaksanakan usaha pengantaraan bagi menamatkan konflik di rantau itu.

Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata asas dasar luar China terhadap Asia Barat adalah untuk mempromosikan persefahaman dan keamanan serantau.

“Selagi konflik masih berterusan, China tidak akan berhenti melakukan usaha pengantaraan di rantau itu,” katanya ketika mengulas mengenai lawatan utusan khas kerajaan China bagi isu Asia Barat Zhai Jun dalam sidang media di Beijing pada Khamis.

Lin berkata Zhai baru-baru ini mengadakan lawatan ke beberapa negara Asia Barat, termasuk bertemu menteri luar Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait dan Mesir, selain Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Liga Arab.

Beliau turut mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Qatar bagi bertukar pandangan mengenai situasi serantau.

Semasa lawatannya, Zhai menjelaskan pendirian China berhubung situasi semasa di Asia Barat, menekankan kepentingan penyelesaian pertikaian secara damai, di samping menggesa semua pihak terlibat agar segera menamatkan konflik bagi mengelakkan keadaan terus meruncing.

Zhai juga menegaskan bahawa prinsip dan tujuan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu dipertahankan, manakala kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah negara-negara GCC perlu dihormati sepenuhnya.

Menurut beliau, sasaran bukan ketenteraan tidak boleh diserang dan keselamatan laluan perkapalan tidak boleh diganggu.

Sementara itu, Lin menambah bahawa pihak-pihak berkenaan memuji China kerana menjunjung keadilan dan usaha aktifnya dalam mempromosikan perdamaian, selain berharap China akan memainkan peranan yang lebih besar pada masa akan datang.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan