DUNIA > BERITA

PEMIMPIN DUNIA SOKONG HENTIKAN SEMENTARA SERANGAN KE ATAS IRAN

24/03/2026 03:48 PM

KUALA LUMPUR,  24 Mac (Bernama) -- Pemimpin dunia pada Isnin menyambut baik langkah menghentikan sementara serangan ke atas infrastruktur tenaga Iran, memberikan sedikit sinar harapan untuk ketegangan di Asia Barat mereda meskipun Tehran menafikan berlakunya rundingan.

Menyambut baik laporan mengenai rundingan antara Washington dan Tehran, Perdana Menteri Britain Keir Starmer berkata keutamaan utama ialah 'penyelesaian segera' konflik Asia Barat.

“Keutamaan kini ialah penyelesaian segera konflik dan melaksanakan perjanjian yang dirundingkan yang menetapkan syarat sukar ke atas Iran, khususnya berkaitan senjata nuklear," kata Keir Starmer pada sesi Jawatankuasa Perhubungan parlimen.

Starmer berkata United Kingdom (UK) "tahu bahawa perkara itu sedang berlaku."

Pada Isnin, Presiden Donald Trump berkata Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah mengadakan perbincangan yang disifatkan beliau sebagai “sangat baik dan produktif’ dengan Tehran sejak dua hari lepas.

Menerusi platform media sosialnya Truth Social, Trump berkata beliau telah mengarahkan penangguhan lima hari semua serangan ke atas loji jana kuasa Iran dan infrastruktur tenaga.

Bagaimanapun, Iran menolak dakwaan mengadakan rundingan dengan Trump dan pegawai Iran menafikan bahawa sebarang rundingan sedang berlaku.

Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Qalibaf berkata tiada rundingan berlaku dengan AS, menafikan laporan mengenai rundingan yang disifatkan beliau sebagai "berita palsu", bertujuan memanipulasi pasaran kewangan dan minyak.

"Tiada rundingan telah diadakan dengan AS. Laporan berita palsu ini bertujuan memanipulasi pasaran kewangan dan minyak serta untuk AS dan Israel melepaskan diri daripada situasi rumit," kata Qalibaf di X, lapor Anadolu Ajansi.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin mengalu-alukan keputusan Trump untuk menghentikan serangan ke atas infrastruktur tenaga Iran selama lima hari, menyifatkannya sebagai "sebarang ungkapan untuk menahan diri."

Bercakap pada taklimat media Suruhanjaya Eropah, jurucakap Suruhanjaya Anouar El Anouni berkata blok itu menyokong semua usaha untuk mengurangkan ketegangan di Asia Barat.

"Saya ulang kembali apa yang dikatakan oleh pemimpin kita - seruan yang jelas untuk meredakan konflik dan sekatan maksimum. Oleh itu, sebarang ungkapan untuk sekatan adalah dialu-alukan," katanya kepada pemberita.

El Anouni berkata EU secara aktif terus berhubung dengan rakan kongsi serantau dan antarabangsa bagi mengelakkan keadaan konflik menjadi lebih teruk, menyatakan komunikasi berterusan dengan pihak utama yang terlibat, termasuk Iran dan negara-negara Teluk.

Sementara itu, Canselor Jerman Friedrich Merz pada Isnin turut menyatakan sokongan kuat pada keputusan Trump untuk menghentikan sementara serangan yang dirancang ke atas infrastruktur Iran, menyifatkan tindakan itu sebagai satu langkah positif ke arah diplomasi.

Turut menyambut baik pengumuman Trump, Belgium dan Mesir, menerusi kenyataan Kementerian Luar masing-masing.

“Dalam waktu geopolitik ini, satu-satunya kepastian ialah ketidakpastian. Jika rundingan benar-benar berlaku di belakang tabir, itu akan menjadi perkembangan positif," kata Menteri Luar Belgium Maxime Prevot dalam kenyataan kepada Anadolu Ajansi.

“Kaherah terus giat berhubung dengan pihak berkaitan untuk mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal, hentikan ketegangan di rantau ini dan elakkan kekacauan merebak,” menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir yang menyeru agar peluang itu diambil untuk mengutamakan dialog bagi meredakan ketegangan dan menghentikan perang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan