HANOI, 24 Mac (Bernama-VNA) -- Di sebalik krisis bahan api global yang didorong oleh kesan konflik tidak menentu di Asia Barat, usaha mempelbagaikan sumber bekalan untuk memenuhi permintaan domestik adalah keutamaan segera di samping langkah jangka panjang, kata pakar, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Menurut Dr. Nguyen Hong Minh, bekas Timbalan Pengarah Institut Petroleum Vietnam, ahli gabungan Kumpulan Industri Tenaga Negara Vietnam (Petrovietnam), dalam keadaan biasa, Vietnam mengeksport sebahagian daripada minyak mentah keluaran dalam negara sambil mengimport bahan mentah untuk diproses di Kilang Penapisan Dung Quat di Quang Ngai dan Kilang Penapisan Nghi Son di Thanh Hoa.
Sejak kedua-dua kilang itu mula beroperasi, Vietnam dapat memenuhi kira-kira 70 peratus permintaan bahan api domestiknya sekali gus dengan ketara mengurangkan pergantungan pada produk ditapis yang diimport berbanding tempoh sebelumnya, katanya.
Beliau berkata bakinya ditambah menerusi import daripada pasaran luar negara.
Minh berkata ini mencerminkan struktur biasa dalam industri tenaga global iaitu banyak negara pengeluar minyak mengeksport dan mengimport minyak mentah untuk mengoptimumkan penapisan, mempelbagaikan sumber bekalan, meningkatkan fleksibiliti sistem penapisan mereka dan melindungi keselamatan tenaga.
Sejak konflik Asia Barat menjejaskan rantaian bekalan bahan api mentah dan yang ditapis, Petrovietnam dengan segera mengaktifkan pelbagai langkah tindak balas sambil mengambil langkah tegas melaksanakan Resolusi 36/NQ-CP Kerajaan bertarikh 6 Mac 2026 untuk memperoleh bekalan tenaga bagi pasaran.
Petrovietnam telah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menghentikan eksport minyak mentah bagi mengutamakan permintaan penapisan domestik.
Pada masa sama, ia telah meneliti semua sumber bahan mentah termasuk produk mentah dan perantaraan dalam inventori daripada kedua-dua bekalan domestik dan import, untuk memetakan rancangan operasi yang stabil bagi kilang penapisan dalam beberapa bulan akan datang.
Ia juga telah bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa untuk mendapatkan bekalan minyak mentah tambahan, sambil membantu Nghi Son Refining and Petrochemical LLC (NSRP) dalam menandatangani kontrak pembelian minyak mentah baharu untuk mengekalkan operasi di Kilang Penapisan Nghi Son.
Sementara itu, Binh Son Refining and Petrochemical JSC (BSR), satu lagi anak syarikat Petrovietnam, menjalankan Kilang Penapisan Dung Quat pada kapasiti melebihi 100 peratus sekali gus membantu meningkatkan bekalan bahan api dan bersedia untuk menyokong NSRP jika diperlukan.
Di samping itu, menjelang akhir Mac, Kilang Penapisan Dung Quat dijangka menerima etanol bahan api daripada Central Biofuels JSC untuk diadun ke dalam petrol E10 RON95, seterusnya meningkatkan pengeluaran domestik.
Data kastam menunjukkan dalam 15 hari pertama bulan Mac, Vietnam mengimport lebih 533,000 tan produk petroleum, meningkat 41.4 peratus dalam volum, dengan nilai import melonjak 89.2 peratus di tengah-tengah ketidaktentuan harga tenaga global.
Di samping bahan api ditapis, import mentah juga telah dikekalkan untuk mendapatkan bahan mentah bagi kedua-dua kilang penapisan itu.
Hasil sumber bekalan yang pelbagai, import proaktif dan penggunaan fleksibel dana penstabilan harga bahan api, pasaran bahan api domestik kini sebahagian besarnya memenuhi permintaan, membantu mengekang kenaikan harga.
Sementara itu, Kumpulan Petroleum Kebangsaan Vietnam (Petrolimex) dan Perbadanan Minyak Petrovietnam (PVOIL) secara proaktif membeli etanol daripada loji domestik dan menandatangani kontrak import dengan Amerika Syarikat dan Brazil yang bekalannya banyak dan tidak terjejas oleh konflik Asia Barat, untuk mendapatkan bahan mentah bagi pengadunan bahan api bio (biofuel) E10 RON95.
Mengawal hampir 70 peratus pasaran bahan api Vietnam secara bersama, kedua-dua syarikat itu juga telah meningkatkan sistem tangki simpanan dan meningkatkan kapasiti campuran E10 RON95 untuk mempercepat peralihan daripada petrol konvensional kepada bahan api bio.
Bui Ngoc Bao, Pengerusi Persatuan Petroleum Vietnam, berkata walaupun mengimport etanol dari AS atau Brazil agak mudah, jarak transit yang jauh tetap menjadi cabaran.
Beliau mencadangkan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan dengan segera menerima pakai dasar yang membolehkan pembekal asing menghantar barangan ke Vietnam dan menyimpan bahan api atau etanol di gudang berlesan tanpa membayar cukai kontraktor sebanyak satu peratus apabila memindahkan produk keluar dari zon berlesen.
Menurut pakar tenaga Dao Nhat Dinh, dalam jangka masa panjang, Vietnam perlu membina sistem rizab negara bebas, berasingan daripada storan komersial, secara beransur-ansur menskalakan bahan api dan rizab mentah ke tahap yang menghampiri piawaian antarabangsa untuk mewujudkan "penampan keselamatan" bagi ekonomi terhadap kejutan (krisis) tenaga.
Ha Dang Son, Pengarah Pusat Penyelidikan Tenaga dan Pertumbuhan Hijau, berkata Petrovietnam perlu diberikan kelonggaran untuk mengembangkan aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas, sambil mengambil peranan yang lebih proaktif dalam menandatangani kontrak import mentah jangka panjang untuk mendapatkan bahan mentah yang stabil bagi kilang penapisan domestik.
Beliau menambah mekanisme penyelarasan yang jelas antara kerajaan dan perusahaan diperlukan demi memastikan keterjaminan tenaga, dengan Petrovietnam diletakkan sebagai pemain utama dalam rantaian nilai - daripada penerokaan dan rizab kepada penapisan dan bekalan bahan api.
-- BERNAMA-VNA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial