DUNIA > BERITA

MALAYSIA MAHU GENCATAN SENJATA SEGERA DI ASIA BARAT

25/03/2026 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Malaysia menzahirkan hasrat agar gencatan senjata yang menyeluruh dan kekal dilaksanakan segera bagi meredakan ketegangan di Asia Barat berikutan konflik Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu disampaikan ketika perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Iran Dr Seyed Abbas Araghchi, pada Selasa.

“Alhamdulillah dapat menghubungi rakan sejawat dari Iran Dr Seyed Abbas Araghchi pada Selasa (24 Mac) bagi membincangkan perkembangan terkini di rantau Asia Barat, termasuk kepentingan menjaga laluan maritim di Selat Hormuz demi kestabilan ekonomi dan tenaga global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Mohamad berkata dalam perbualan itu beliau turut menyatakan kepentingan dialog dan diplomasi dalam meredakan ketegangan untuk menghentikan perang, amat diperlukan ketika ini.

“Malaysia akan terus berperanan aktif dalam usaha-usaha diplomasi bagi mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata beliau turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Oman, Sayyid Badr bin Hamad Al Busaidi tentang situasi di negara Teluk dan kebimbangan Malaysia akibat serangan berterusan yang dilakukan oleh regim Zionis dan Amerika Syarikat terhadap Iran.

“Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap usaha mediasi yang dilakukan oleh Oman dan berharap rundingan melalui saluran diplomatik dapat diteruskan agar perang dihentikan serta-merta,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan