DUNIA > BERITA

THAILAND AKAN NAIKKAN TARIF ELEKTRIK UNTUK KITARAN BIL MEI-OGOS

25/03/2026 07:03 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 25 Mac (Bernama) -- Thailand merancang untuk menaikkan tarif elektriknya bagi kitaran bil Mei hingga Ogos 2026, susulan peningkatan kos tenaga global dan turun naik kadar pertukaran.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Pengawalseliaan Tenaga (ERC) Poolpat Leesombatphiboon berkata tiga pilihan tarif telah disahkan pada mesyuarat pada 16 Mac dengan kadar yang dicadangkan antara 3.95 hingga 4.59 baht (10 baht = RM1.21) seunit.

Beliau berkata harga gas asli global dan gas asli cecair (LNG) yang lebih tinggi, didorong sebahagiannya oleh ketegangan geopolitik, termasuk situasi Amerika Syarikat-Iran, berserta turun naik kadar pertukaran, memberikan tekanan ke atas kos elektrik.

“Walaupun menghadapi cabaran ini, ERC mengekalkan mekanisme untuk mengurus kesan ke atas pengguna, termasuk penggunaan peruntukan penarikan balik dana (clawback) dan penyelesaian beransur-ansur beban kos bahan api terkumpul,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat lembaga pengawal selia pada Rabu.

Beliau menambah suruhanjaya itu menyasarkan untuk mengimbangi tarif yang mencerminkan kos mampu milik sambil mengekalkan kestabilan kewangan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) dan PTT Public Company Limited, serta keterjaminan tenaga keseluruhan.

Poolpat berkata kadar tertinggi yang dicadangkan iaitu 4.59 baht seunit mencerminkan pembayaran balik penuh kos bahan api tertunggak berjumlah 35.9 bilion baht, yang sebelum ini telah diserap oleh EGAT semasa krisis tenaga.

Ini akan menandakan peningkatan 18 peratus daripada kadar semasa 3.88 baht seunit.

Pilihan kedua, yang dicadangkan oleh EGAT, adalah menetapkan tarif pada 4.08 baht seunit, mencerminkan hanya kos tempoh semasa, dengan EGAT terus memikul beban kos bahan api yang tertunggak.

Langkah itu akan menyebabkan peningkatan lima peratus.

Pilihan terendah sebanyak 3.95 baht seunit sementara itu akan menggabungkan penggunaan kira-kira 9.47 bilion baht dalam dana clawback untuk mengurangkan kesan terhadap pengguna, mengehadkan peningkatan kepada dua peratus, katanya. 

Perundingan awam Poolpat kini sedang dijalankan mengenai tarif berubah-ubah (Ft) dan maklum balas awam akan dipertimbangkan sebelum keputusan muktamad dibuat.

Beliau berkata ERC menerima maklum balas orang ramai menerusi laman webnya dari 25 hingga 31 Mac, sebelum memuktamadkan dan mengumumkan keputusan itu secara rasmi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan