DUNIA > BERITA

INDONESIA HARAMKAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL UNTUK KANAK-KANAK BAWAH 16 TAHUN

28/03/2026 02:23 PM

JAKARTA, 28 Mac (Bernama) --Indonesia pada Sabtu secara rasmi melarang penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

Hal itu susulan pelaksanaan peraturan keselamatan digital Dasar Tata Kelola untuk Anak Aman dan Sehat Digital (Tunas) yang mewajibkan penyahaktifan berperingkat akaun milik pengguna bawah umur pada platform berisiko tinggi.

Indonesia muncul negara bukan Barat pertama yang menguatkuasakan sekatan sedemikian di seluruh negara, berdasarkan perkembangan terkini peraturan serantau.

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Meutya Hafid berkata pelaksanaan itu mencerminkan komitmen Indonesia terhadap kedaulatan digital dan perlindungan kanak-kanak selepas tempoh peralihan selama setahun sejak peraturan itu ditandatangani Presiden Prabowo Subianto.

Beliau berkata kerajaan telah memberi operator sistem elektronik (PSE) masa yang mencukupi untuk menyelaraskan peraturan, termasuk mengemukakan komitmen pematuhan dan pelan tindakan.

"Berdasarkan skala pematuhan, boleh kami katakan bahawa status pematuhan adalah dinamik. Ini bermakna apa yang kami umumkan mencerminkan status setakat malam ini, dan kami masih menunggu perkembangan hingga esok," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Video sidang media itu dimuat naik dalam akaun Youtube kementerian berkenaan.

Meutya menegaskan bahawa tidak akan ada kompromi mengenai pematuhan, menegaskan bahawa semua platform digital yang beroperasi di Indonesia mesti mematuhi undang-undang negara.

“Kami menekankan bahawa setiap entiti perniagaan yang beroperasi di Indonesia wajib mematuhi undang-undang negara ini,” 

Kementerian memaklumkan pelancaran PP Tunas akan dijalankan secara berperingkat, bermula dengan platform utama dan penguatkuasaan akan diperluas secara progresif.

Mengulangi pendirian penguatkuasaan kerajaan, Meutya menegaskan pihak berkuasa mempunyai kuasa penuh untuk bertindak terhadap platform yang tidak mematuhi undang-undang sedia ada.

“Kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil langkah penguatkuasaan mengikut undang-undang dan peraturan yang terpakai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan