DUNIA > BERITA

20 LAGI KAPAL PAKISTAN DIBENARKAN LALU SELAT HORMUZ - ISLAMABAD

29/03/2026 11:19 AM

ANKARA, 29 Mac (Bernama-Anadolu) -- Iran bersetuju untuk membenarkan 20 lagi kapal di bawah bendera Pakistan melalui Selat Hormuz, yang telah ditutup secara berkesan selama beberapa minggu, lapor Anadolu Ajansi.

Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mengesahkan langkah itu di platform media sosial X, menyebutnya sebagai isyarat membina yang wajar diberi penghargaan.

Ia ialah petunjuk keamanan dan akan membantu mewujudkan kestabilan di rantau ini, katanya.

"Dialog, diplomasi dan langkah membina keyakinan seperti itu adalah satu-satunya jalan ke hadapan," tambahnya.

Pakistan akan menjadi tuan rumah mesyuarat empat hala mengenai konflik Asia Barat pada Ahad.

Diplomat tertinggi Türkiye, Pakistan, Mesir dan Arab Saudi dijangka bertemu di Islamabad untuk membincangkan usaha berterusan bagi meredakan ketegangan yang kian memuncak di rantau itu ketika perang antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran memasuki bulan kedua.

Selat Hormuz telah ditutup secara berkesan sejak awal Mac berikutan peningkatan konflik yang bermula pada 28 Feb.

Sebelum konflik, purata 138 kapal melalui selat itu setiap hari.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan