DUNIA > BERITA

NASA DIJADUAL LANCAR MISI ARTEMIS II KE BULAN PADA RABU

01/04/2026 11:44 PM

LOS ANGELES, 1 April (Bernama-Xinhua) -- Misi Artemis II oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dijadual dilancarkan pada Rabu dari negeri Florida, Amerika Syarikat (AS), menandakan misi dengan kru pertama ke sekitar Bulan dalam tempoh lebih 50 tahun, lapor Xinhua.

Pelancaran dijadual berlangsung seawal 6.24 petang waktu Timur dari Pusat Angkasa Kennedy milik NASA.

Pasukan pelancaran pada Selasa meneruskan siri persiapan rapi bagi memastikan roket Space Launch System dan kapal angkasa Orion bersedia untuk perjalanan mengelilingi Bulan.

Menurut NASA, terdapat 80 peratus kemungkinan keadaan cuaca menggalakkan ketika pelancaran, namun awan kumulus, angin permukaan dan aktiviti suria perlu diberi perhatian.

Agensi itu bersama pegawai cuaca Pasukan Angkasa AS akan terus memantau keadaan menjelang pelancaran.

Menjelang pelancaran, persiapan kini memberi tumpuan kepada sistem berkaitan kru, menurut NASA.

Sementara itu, jurutera menjalankan pemeriksaan kebocoran pada sut tekanan angkasawan di dalam Orion bagi memastikan kedap udara dan kawalan tekanan berfungsi dengan baik.

Misi selama 10 hari itu akan disertai empat kru iaitu angkasawan NASA, Reid Wiseman, Victor Glover dan Christina Koch, serta angkasawan Agensi Angkasa Lepas Kanada, Jeremy Hansen.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan