EKONOMI > BERITA

MALAYSIA SERTAI ENAM NEGARA RATIFIKASI PENYERTAAN UK DALAM CPTPP

20/09/2024 11:12 AM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Malaysia secara rasmi meratifikasi penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), sekali gus menandakan perjanjian perdagangan bebas dua hala pertama negara ini dengan UK.

Proses ratifikasi merujuk kepada cara atau tindakan sesebuah negara menzahirkan persetujuan untuk terikat dengan sesuatu perjanjian.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata pencapaian penting itu meningkatkan lagi nilai gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) blok CPTPP kepada US$15.4 trilion atau 15 peratus daripada KDNK global selain memperhebat kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota.

MITI berkata langkah ratifikasi itu akan membolehkan eksport Malaysia mendapat manfaat daripada pengecualian cukai untuk 94 peratus garis tarif, terutama bagi produk minyak sawit, koko, getah, elektrik dan elektronik, bahan kimia serta mesin dan peralatan.

Perjanjian itu dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2024 bagi UK dan negara yang telah meratifikasi dokumen itu.

Menerusi pemakluman itu juga, Malaysia menyertai enam lagi negara yang telah menyelesaikan proses ratifikasi di peringkat negara iaitu Jepun, Singapura, Chile, New Zealand, Vietnam dan Peru.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia mengalu-alukan penyertaan UK dalam ‘keluarga’ CPTPP.

“Sebagai perjanjian perdagangan bebas dua hala pertama Malaysia dengan UK, kita yakin eksport Malaysia akan mendapat akses lebih baik ke pasaran UK dengan nilai ekonominya melebihi US$4 trilion pada 2023,” katanya.

Tengku Zafrul turut menyifatkan keanggotaan Malaysia dalam CPTPP yang dianggap sebagai piawaian emas bagi perjanjian perdagangan, akan meningkatkan lagi daya saing negara dengan ketara.

Pada masa sama, ini dapat mengukuhkan keyakinan pelabur dan meningkatkan integrasi dengan lebih baik ke dalam rantaian bekalan global bagi pengeksport Malaysia.

Selain Malaysia, negara-negara ahli CPTPP adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam, kata MITI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan