EKONOMI > BERITA

MALAYSIA PERLU TUMPU PADA PENGKOMPUTERAN HIJAU UNTUK TARIK PELABURAN PUSAT DATA

20/09/2024 04:32 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Malaysia perlu memberikan lebih tumpuan ke atas perkakasan dan perisian pengkomputeran hijau agar seiring dengan kemajuan dalam infrastruktur teknologi maklumat (IT) jika mahu terus menarik pelaburan pusat data global.

Profesional dalam infrastruktur dan operasi IT, Sarkunarajah Shanmugam berkata pelaburan dalam IT lestari ini adalah penting memandangkan reputasi Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab pusat data di Asia Tenggara.

Beliau meminta kerajaan memberikan insentif seperti pelepasan cukai bagi membolehkan pusat data yang menjadi tulang belakang ekonomi digital terus menaik taraf perkakasan mereka kepada yang lebih cekap tenaga dan moden.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ) juga harus diberi insentif selain digalakkan untuk menerima pengkomputeran hijau, katanya semasa program bual bicara “The Nation” yang disiarkan di Bernama TV baru-baru ini.

Lonjakan ke arah pengkomputeran hijau adalah signifikan serta strategik memandangkan Malaysia sedang muncul sebagai pemain utama di rantau ini, lebih-lebih lagi dengan peningkatan permintaan global dalam teknologi penyimpanan dan pemprosesan data. Dalam menarik pelaburan besar, beliau berkata kelebihan terbesar Malaysia ialah lokasinya dalam zon bebas bencana, ketiadaan gempa bumi dan taufan. "Kestabilan dalam lokasi geografi adalah kritikal, ini faktor utama untuk mewujudkan pusat data yang berdaya tahan," kata Sarkunarajah.

Faktor lain yang menarik pelaburan pusat data ke Malaysia termasuk dasar yang menggalakkan bagi pemain industri membina pusat data baharu selain kedekatan negara dengan pasaran utama dalam rantau.

“Itu pastinya memberikan kami kelebihan untuk lokasi pusat data," katanya ketika diminta mengulas mengenai peningkatan Malaysia sebagai hab pusat data di Asia Tenggara oleh hos program itu, Melissa Ong.

Ong berkata, kecenderungan Malaysia untuk menarik pusat data terbukti dengan pendedahan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini bahawa negeri itu menarik lebih 50 pelaburan pusat data sejak dua tahun lepas.

Malaysia, yang merekodkan pelaburan diluluskan daripada pusat data sebanyak RM114.7 bilion antara 2021 dan 2023, dilaporkan mempunyai 71 pusat data yang disenaraikan dalam 11 pasaran.

Pengkomputeran hijau, yang juga dikenali sebagai IT hijau atau lestari merupakan reka bentuk, pembuatan, penggunaan komputer, cip serta komponen lain yang meminiumkan impak berbahaya ke atas alam sekitar termasuk mengurangkan pelepasan karbon dan penggunaan tenaga.

Sarkunarajah ketika mengulas lanjut mengenai pengekalan pusat data moden memberitahu perkakasan yang dihoskan di pusat data perlu digantikan dengan perkakasan yang lebih baharu dan cekap tenaga apabila ia tersedia. “Jadi, anda tidak boleh terus menggunakan pelayan yang telah dibina dan digunakan sejak lima tahun lalu, yang mana, penggunaan tenaganya adalah jauh lebih tinggi daripada pelayan terkini atau perkakasan terbaharu.”

“Ini bermakna kami perlu sentiasa menarik pasaran kerana pelabur akan digalakkan untuk memperbaharui teknologi mereka setiap lima tahun atau lebih,” tambahnya.

Berbalik kepada pembangunan perisian komputer serta kejuruteraan perisian, beliau berkata terdapat cukup kertas kerja yang membentangkan kecekapan tenaga dalam bahasa IT.

Beliau memetik bagaimana Python menjadi bahasa pengaturcaraan pilihan untuk analisis data tetapi dari sudut kecekapan tenaga, Python merupakan antara bahasa pengaturcaraan yang paling tidak cekap tenaga. "Java jauh lebih baik," katanya sambil menjelaskan pemilihan bahasa pengaturcaraan cekap tenaga adalah sama dengan pengkomputeran hijau," katanya lagi.

"Untuk memudahkan ini, kita perlu mendapatkan lebih banyak kupasan mengenai pengkomputeran hijau di negara ini, peranan tersebut boleh dimainkan oleh institusi pengajian tinggi. Mereka perlu melahirkan graduan, terutamanya dalam industri IT, yang secara konsisten akan memikirkan pengkomputeran hijau dalam kerja dan projek harian mereka,” sambungnya.

Beliau berkata pendekatan ini adalah kritikal, itulah sebabnya kerajaan juga sewajarnya "merangsang lebih banyak PKS di sekitar ruang (pengkomputeran hijau)" bagi memastikan pendekatan mampan yang lebih komprehensif merentas bahagian ekonomi yang lebih meluas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan