EKONOMI > BERITA

ASIAN SUPPLY BASE LABUAN TERIMA PELANGGAN ANTARABANGSA PERTAMA PROJEK TENAGA FILIPINA

22/09/2024 03:14 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 22 Sept (Bernama) -- Syarikat berkaitan kerajaan Sabah, Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) yang berpangkalan di sini meraih pencapaian penting di peringkat antarabangsa apabila menerima pelanggan antarabangsa pertama, Prime Energy Resources Development BV dari Filipina.

Bercakap kepada Bernama hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif ASB Japar Esteban berkata kontrak itu bertujuan mewujudkan pangkalan bekalan dan menyediakan perkhidmatan berkaitan bagi projek tenaga utama di Filipina.

Kontrak itu yang dimeterai di Alabang, Muntinlupa, Filipina pada 19 September lepas menyaksikan ASB akan membantu kempen penggerudian Prime Energy bagi Projek Sinagtala, yang berperanan penting untuk memanjangkan hayat operasi medan gas Malampaya.

Wakil kanan kedua-dua syarikat menghadiri majlis penandatanganan itu, yang menekankan kepentingan strategik kerjasama antarabangsa ini untuk masa depan tenaga Filipina.

Medan Malampaya adalah satu-satunya kemudahan gas-kepada-tenaga perairan dalam di Filipina, yang menggalas tugas penting bagi keselamatan tenaga Filipina.

Sehubungan itu, Japar berkongsi rasa bangga apabila turut terlibat dalam Projek Sinagtala, sambil memaklumkan langkah berkenaan akan mengukuhkan kedudukan ASB di pasaran antarabangsa.

“Kami berbesar hati untuk menyokong Projek Sinagtala sebagai sebahagian daripada kontrak antarabangsa pertama kami.

"ASB komited untuk menawarkan perkhidmatan pangkalan bekalan diperlukan yang akan membantu memanjangkan hayat medan gas Malampaya selaku komponen utama infrastruktur tenaga Filipina," katanya.

Beliau berkata Projek Sinagtala bertujuan memastikan operasi medan gas Malampaya yang berterusan, sekali gus sebagai usaha penting untuk mengekalkan bekalan tenaga yang stabil dan terjamin kepada Filipina.

Menurutnya perkhidmatan ASB akan menggalas tanggungjawab penting untuk menyokong projek itu dan menyumbang kepada strategi tenaga negara yang lebih luas.

“Perkhidmatan logistik kami adalah perlu untuk mengukuhkan keselamatan tenaga Filipina dan memenuhi keperluan tenaga strategiknya,” kata beliau.

Japar berkata kerjasama berkenaan menyerlahkan dedikasi ASB terhadap kestabilan tenaga Filipina dan memperlihatkan kepakaran syarikat di pangkalan bekalan antarabangsa dan sektor logistik.

Menurutnya medan gas Malampaya sebagai teras kepada landskap tenaga Filipina, meraih manfaat daripada kepakaran yang disediakan ASB menerusi operasinya yang berterusan.

Sementara itu, Dekan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Prof Madya Dr Geoffrey H Tanakinjal menekankan kepentingan kontrak ini kepada Malaysia.

“Pemberian kontrak ini kepada ASB adalah bukti daya saing syarikat Malaysia dalam sektor logistik dan pangkalan bekalan antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan