EKONOMI > BERITA

INDUSTRI MARITIM HARAP INSENTIF BELANJAWAN 2025 UNTUK PERTUMBUHAN, PENYAHKARBONAN

01/10/2024 11:03 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Peserta utama dalam industri maritim mengharapkan insentif Belanjawan 2025 untuk merangsang pertumbuhan dan memajukan agenda pembangunan hijau, khususnya melalui sokongan bagi pembelian kapal rendah karbon, pelaburan pelabuhan hijau dan perluasan infrastruktur.

Pengendali pelabuhan juga mengharapkan pelepasan cukai dan insentif susulan jumlah perdagangan global semakin meningkat.

Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Bhd dan Pengarah Urusan Sabah Port Sdn Bhd (SPSB) Datuk Ng Kiat Min berkata selaras dengan agenda penyahkarbonan negara, SPSB mengharapkan pelepasan dan insentif cukai untuk menggalakkan pelaburan yang lebih besar dalam projek teknologi dan kelestarian.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap inisiatif penting ini, kami sedang berusaha mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan sedang meneroka tenaga boleh baharu dan pilihan elektrifikasi untuk peralatan pengendalian kargo,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata SPSB menerima Pensijilan Label Terminal Hijau pada 2023 dan telah menetapkan matlamat untuk semua pelabuhan di bawah pengurusannya mencapai status pelabuhan hijau.

“Untuk merealisasikan visi ini, kami mengharapkan insentif untuk memajukan lagi penggunaan teknologi hijau di pelabuhan kami," katanya.

SPSB berhasrat untuk memperluas penggunaan tenaga solar dan peralihan kepada tenaga hijau secara skala lebih besar, dengan harapan beberapa bentuk rebat cukai untuk menyokong pelaburan itu, katanya.

Ng juga mencadangkan agar kerajaan menawarkan pengurangan cukai atau insentif untuk membantu pelaburan infrastruktur pelabuhan yang sedang dilaksanakan seperti pembinaan Terminal Kargo Konvensional Teluk Sapangar dan penambahbaikan besar-besar di Pelabuhan Tawau.

Semua inisiatif itu akan membolehkan SPSB memanfaatkan sepenuhnya penambahbaikan itu.

“Insentif atau pelepasan akan membolehkan kami menyalurkan lebih banyak sumber ke arah projek penting ini tanpa perlu mendapatkan pinjaman atau pembiayaan luar.

“Langkah sedemikian juga akan membolehkan kami melabur semula dalam penambahbaikan infrastruktur seterusnya, meningkatkan kapasiti dan kecekapan pelabuhan kami,” katanya.

Beliau berkata usaha itu bukan sahaja akan mengukuhkan operasi pelabuhan malah juga menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan ekonomi dan perdagangan negara.

Menyentuh isu semakan semula tarif, Ng menekankan keperluan semakan sepenuhnya berkaitan tarif pelabuhan berdasarkan kadar pada 1977 yang ditetapkan oleh Lembaga Pelabuhan Sabah.

“Kami percaya semakan sepenuhnya adalah penting agar sejajar dengan piawaian dan keperluan industri masa kini. Usaha pemodenan struktur tarif itu akan membantu untuk kekal kompetitif selain menyediakan perkhidmatan yang cekap dan boleh diharap kepada pengguna pelabuhan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd Datuk Sasedharan Vasudevan turut berkongsi sentimen sama dan berkata ketika Malaysia bersedia untuk Belanjawan 2025, pengendali pelabuhan di seluruh negara sebaliknya sedang mencari penyelesaian terhadap cabaran kritikal dalam pengembangan pelabuhan, kos operasi serta pembangunan tenaga kerja.

Beliau turut menyifatkan kesemua elemen itu sebagai penting bagi pertumbuhan dalam persekitaran global yang kompetitif.

“Salah satu permintaan daripada pengendali pelabuhan ini adalah supaya insentif kewangan dinaikkan untuk memacu modal perbelanjaan dalam sektor maritim.

“Pengendali menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan pelarasan cukai bagi membolehkan mereka melabur semula keuntungan bagi tujuan pengembangan dan usaha pemodenan pelabuhan. Pelaburan semula ini penting bukan sahaja untuk meningkatkan kapasiti tetapi mengekalkan kadar tarif kompetitif dalam pasaran yang kian mencabar," katanya kepada Bernama.

Sasedharan berkata tarif pelabuhan menjadi kebimbangan utama pengendali berikutan fi ini secara langsung menjejaskan kemampuan mereka membiayai pengembangangan dan usaha penambahbaikan.

"Sebagai contoh, sifat operasi pelabuhan yang intensif buruh pula berkait rapat dengan jumlah kargo...oleh itu menguruskan tarif adalah penting untuk mengekalkan operasi dan memastikan pelabuhan kekal berdaya maju dari segi kewangan," katanya.

Satu lagi bidang yang perlu diberi perhatian adalah insentif untuk inisiatif latihan dan pembangunan kemahiran bagi melengkapkan tenaga kerja bagi memenuhi permintaan industri maritim.

"Apabila pelabuhan berkembang dan menggunapakai teknologi baharu, tenaga kerja mahir menjadi semakin penting," katanya.

Beliau turut menekankan walaupun industri pelabuhan bersifat dinamik, wujud keyakinan dalam kalangan pengendali mengenai reaksi kerajaan terhadap keperluan industri.

Ramai pengendali juga yakin Kementerian Pengangkutan bersifat terbuka dengan cadangan mereka dan melihat kerjasama kerajaan-industri ini sebagai teras kepada hasil bermakna dalam belanjawan akan datang.

 

Mekanisme Pembiayaan Penting bagi Agenda Rendah Karbon

 

Presiden Persatuan Pemilik Kapal Sokongan Minyak (OSV) Malaysia (MOSVA) Jamalludin Obeng berkata mekanisme pembiayaan adalah perlu untuk memudahkan pembaharuan kumpulan kapal berikutan banyak kapal yang telah sekian lama digunakan di Malaysia.

“Kita mesti menghapuskan halangan kewangan kepada pemilik OSV untuk mereka melabur membeli kapal baharu, memandangkan purata usia OSV Malaysia kini adalah 12.3 tahun,” katanya kepada Bernama.

Antara 2010 hingga 2015, syarikat Malaysia membelanjakan kira-kira RM15 bilion bagi OSV baharu.

“Dengan mengandaikan 70 peratus daripada ini memerlukan pembiayaan daripada bank komersial dan bank pembangunan, kira-kira RM10 bilion nilai pinjaman akan diperlukan. Jika kerajaan menampung dua peratus daripada jumlah ini, ia akan melibatkan sekitar RM200 juta,” katanya.

Menangani keadaan mendesak itu, Jamalludin berkata walaupun kapal boleh beroperasi sehingga 20 tahun, pembinaan kapal baharu biasanya mengambil masa sehingga tiga tahun kerana ketelitian perancangan serta tempoh mula hingga siap yang lama membabitkan komponen kapal.

“Beberapa tahun akan datang adalah penting untuk memperbaharu kumpulan OSV Malaysia bagi mengekalkan kecekapan operasi dan daya saing,” katanya.

Pembaharuan itu juga akan membuka laluan kepada kapal yang lebih lestari, seperti OSV yang dikuasakan oleh enjin diesel-elektrik.

Jamalludin juga menggesa kerajaan mempertimbangkan pengecualian cukai untuk pelaut Malaysia menerusi Belanjawan 2025 memandangkan anak kapal tempatan terpaksa bersaing dengan kapal asing apabila krunya menikmati status pengecualian cukai.

Pengerusi Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Malaysia (MASA), Mohamed Safwan Othman berkongsi pandangan yang sama, mengharapkan pengaktifan semula dana perkapalan negara untuk membeli kapal baharu, yang lebih mesra alam.

“Kami berharap dua perkara dalam Belanjawan 2025 iaitu pengaktifan semula dana perkapalan dengan pinjaman bersubsidi untuk membeli kapal rendah karbon serta cukai rebat bagi membina dan membaiki kapal di limbungan kapal Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan