EKONOMI > BERITA

ORACLE AKAN LABUR LEBIH US$6.5 BILION DALAM AI, PENGKOMPUTERAN AWAN DI MALAYSIA

02/10/2024 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Oracle hari ini mengumumkan pihaknya merancang untuk melabur lebih US$6.5 bilion (US$1 = RM4.15) bagi mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan awannya.

Dalam kenyataan pada Rabu, Oracle menjelaskan wilayah awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada “Oracle Cloud Infrastructure” (OCI).

Oracle turut memetik kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang berkata “kami amat mengalu-alukan pelaburan US$6.5 bilion oleh Oracle di Malaysia, yang mewakili satu lagi pengembangan operasi 36 tahun mereka di Malaysia.”

Tengku Zafrul juga berkata: “pelaburan ini akan memperkasakan entiti Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana, dengan AI dan teknologi awan yang inovatif dan termaju untuk meningkatkan daya saing global mereka.”

Beliau berkata pelaburan itu juga merupakan langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar pada 2030.

“Keputusan Oracle untuk mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia menekankan ketersediaan infrastruktur Malaysia dan kedudukan negara yang semakin kukuh sebagai destinasi utama Asia Tenggara bagi pelaburan digital,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Oracle Garrett Ilg berkata Malaysia menawarkan peluang pertumbuhan unik untuk organisasi yang ingin mempercepat pengembangan masing-masing dengan teknologi digital terkini.

“Pelaburan berbilion dolar kami mengesahkan komitmen Oracle kepada Malaysia sebagai pintu masuk serantau untuk infrastruktur awan serta set lengkap penggunaan SaaS (perisian sebagai satu perkhidmatan) yang digunakan di Malaysia,” katanya yang juga Pengurus Besar Oracle bagi Jepun dan Asia Pasifik.

Naib Presiden Awan, Pusat Data dan Infrastruktur Digital Masa Depan Asia Pasifik, International Data Corporation (IDC), Franco Chiam berkata wilayah awan Oracle yang akan diwujudkan di Malaysia menandakan potensi negara ini untuk menjadi hab bagi inovasi teknologi dan pertumbuhan di Asia Tenggara.

Menurut Oracle, wilayah awan awam yang dirancang akan membantu organisasi di Malaysia memodenkan penggunaan mereka, memindahkan semua jenis beban kerja kepada awan, dan berinovasi dengan data, analitik dan AI.

Pelanggan boleh mempunyai akses kepada, antara lain “OCI Generative AI Agents” Oracle dengan keupayaan penjanaan tambahan dapatan semula (RAG) serta perkhidmatan pengkomputeran dipercepat dan AI generatif untuk membantu mengekalkan model AI berdaulat dalam sempadan negara.

“Selain itu, lebih 150 perkhidmatan termasuk “Oracle Autonomous Database” dan “Oracle Cloud VMware Solution” juga akan tersedia, menawarkan perkhidmatan infrastruktur, platform atau SaaS kepada pelanggan,” tambah Oracle.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan