EKONOMI > BERITA

PLUS XNERGY SOKONG DASAR PERCEPAT PENERIMAGUNAAN SOLAR DALAM BELANJAWAN 2025

03/10/2024 03:51 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 harus merangkumi dasar yang lebih teguh dan fleksibel yang boleh membantu meningkatkan penerimagunaan tenaga solar dalam kalangan perniagaan dan pemilik rumah, demikian menurut Plus Xnergy Holdings Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ko Chuan Zhen berkata memperluaskan insentif cukai dan skim pembiayaan hijau akan menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) daripada semua pihak berkepentingan, termasuk perniagaan, pemilik rumah dan pemain industri.

“Kami berharap agar kerajaan dapat melonggarkan rangka kerja dasar dan kriteria tertentu untuk menjadikan tenaga hijau lebih mudah diakses oleh pengilang.

“Sebagai contoh, walaupun Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) hanya terpakai kepada pengguna korporat dengan keperluan voltan sederhana hingga tinggi, memperluaskan skopnya dengan merangkumi perniagaan dengan permintaan tenaga yang lebih rendah akan membolehkan lebih ramai pemain mendapat manfaat daripada program itu,” katanya kepada Bernama.

Ko juga berkata skim Pemeteran Tenaga Bersih (MEB) untuk rakyat perlu diperluaskan bagi menjadikan tenaga solar boleh diakses oleh segmen pemilik rumah yang lebih besar, menyokong peralihan Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau.

Menurutnya, walaupun Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS) menarik dan telah memacu penggunaan solar secara berkesan dalam kalangan pemilik rumah, ketersediaan MEB kepada rakyat penting, kerana ia secara langsung memberi kesan kepada kebolehcapaian insentif untuk pemilik rumah.

MEB dilaksanakan bertujuan untuk memenuhi keperluan pengguna domestik dengan sistem fotovoltaik solar yang dipasang di rumah atau kediaman mereka.

Manakala SolaRIS adalah insentif yang memberikan rebat RM1,000 setiap kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu MEB yang menyerahkan permohonan mereka kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada atau selepas 1 April tahun ini.

“Memandangkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), yang menyasarkan pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dengan kapasiti terpasang 70 peratus daripada tenaga boleh baharu, insentif seperti SolaRIS bagi solar kediaman dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau bagi perniagaan akan memainkan peranan penting.

“Selain itu, proses permohonan insentif solar yang dipermudahkan akan terus menggalakkan penggunaan merentas sektor yang berbeza, terutamanya untuk pemain yang lebih kecil yang mungkin mendapati proses semasa agak rumit,” katanya.

Sebaliknya, Ko berkata insentif penyimpanan tenaga seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) akan membantu memenuhi permintaan tenaga solar yang stabil, memandangkan syarikat teknologi utama seperti Google dan Microsoft sedang membangunkan pusat data di Malaysia.

Beliau berkata keupayaan untuk menyalurkan semula lebihan tenaga solar ke grid di bawah program CRESS juga akan memberi manfaat kepada pengeluar yang membolehkan mereka membeli dan bergantung kepada sumber tenaga boleh baharu.

“Memperluaskan akses kepada sistem penyimpanan tenaga ini akan menggalakkan industri mengurangkan pergantungan kepada tenaga tidak boleh baharu sambil meningkatkan kapasiti Malaysia untuk menarik pelaburan teknologi global,” katanya.

Dari perspektif mereka sebagai pemain dalam industri solar, Ko menjangkakan Belanjawan 2025 akan terus memberi tumpuan utama kepada TBB, terutamanya solar, sebagai satu cara untuk mencapai matlamat pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050.

Beliau juga menjangkakan pelan hala tuju yang progresif dan komprehensif untuk sektor tenaga boleh baharu, terutamanya mengenai bagaimana tenaga solar boleh disepadukan dengan grid nasional.

“Selaras dengan matlamat kemampanan Malaysia, kami berharap kerajaan akan memperkenalkan dasar yang mendorong penggunaan lebih meluas, dengan tumpuan untuk mengurangkan halangan birokrasi dan menyediakan insentif lebih mudah diakses untuk semua orang,” kata Ko. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan