EKONOMI > BERITA

JOHOR CATAT PELABURAN KOMITED RM12.93 BILION SUKU KEDUA 2024

03/10/2024 05:25 PM

ISKANDAR PUTERI, 3 Okt (Bernama) -- Johor mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM12.93 bilion sehingga tempoh suku kedua tahun ini, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han berkata jumlah itu merangkumi pelaburan asing langsung (FDI) sebanyak RM7.97 bilion dan pelaburan domestik langsung (DDI) sebanyak RM4.96 bilion.

“Daripada jumlah RM12.93 bilion itu, sektor perkilangan menyumbang RM6.02 bilion. FDI bagi sektor perkilangan adalah RM4.57 bilion, manakala DDI sektor perkilangan adalah RM1.45 bilion.

“Sektor perkhidmatan mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM6.90 bilion dengan FDI bagi sektor perkhidmatan adalah sebanyak RM3.40 bilion, manakala DDI RM3.50 bilion,” kata Lee.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Anuar Abd Manap (BN-Pemanis) mengenai jumlah pelaburan bagi suku pertama tahun ini pada pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh berkata sebanyak 396 projek telah diluluskan yang mewujudkan sebanyak 8,948 peluang pekerjaan di negeri ini.

Sementara itu, katanya, bagi meningkatkan lagi jumlah pelaburan di negeri ini sekali gus menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan unggul di rantau ini, beberapa inisiatif telah dan akan dilaksanakan.

“Ia termasuk menubuhkan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) yang bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepat proses kelulusan, selain penubuhan Inisiatif Johor Fast Lane (JFL).

“Selain itu, pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) juga akan menjadikan Johor sebagai pusat perdagangan dan pelaburan utama di rantau ini," katanya.

Beliau berkata inisiatif tersebut akan memacu pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam sektor perkhidmatan profesional.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan