EKONOMI > BERITA

PEMIMPIN MALAYSIA, PAKISTAN KOMITED LONJAK PERDAGANGAN, PERNIAGAAN - PM ANWAR

04/10/2024 12:24 AM

Daripada Mohd Haikal Mohd Isa

ISLAMABAD, 3 Okt (Bernama) -- Terdapat komitmen jelas daripada kepimpinan Malaysia dan Pakistan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang boleh menghalang perdagangan dan perniagaan antara kedua-dua negara daripada berkembang lebih jauh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada majlis dialog perniagaan yang turut dihadiri Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Anwar berkata komitmen untuk meningkatkan hubungan perdagangan antara Kuala Lumpur dan Islamabad pada masa ini mencapai tahap tertinggi bagi kedua-dua kerajaan.

“Perkara yang penting adalah dalam mana-mana portfolio pelaburan, dasar adalah jelas, dan ada komitmen dan kepimpinan. Berkaitan masalah lain, komitmen adalah berusaha untuk menyelesaikannya, dan komitmen itu berada di tahap tertinggi kerajaan,” kata beliau semasa majlis dialog itu di sini, hari ini.

Acara itu turut dihadiri wakil daripada syarikat Malaysia dan Pakistan.

Hadir sama ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan Pakistan, Jam Kamal Khan.

Perdana Menteri mengakui Pakistan cemerlang dalam beberapa bidang tertentu, contohnya dalam penyelidikan sains tradisional dan mempunyai tradisi perindustrian yang lebih panjang serta penyelidikan dan pembangunan saintifik berbanding Malaysia yang merupakan peserta baharu.

Bagaimanapun, Malaysia dianggap sebagai hab serantau bagi industri semikonduktor, kata beliau.

Anwar berkata terdapat bidang yang boleh diusahakan Kuala Lumpur dan Islamabad secara bersama.

Beliau menyenaraikan tiga bidang kerjasama yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara iaitu daging halal dan industri halal, beras, serta lebih banyak penerbangan untuk menggalakkan pelancongan antara kedua-dua negara.

Anwar juga mengumumkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan membuka pejabat di Karachi, Pakistan, bulan depan, sekali gus menekankan komitmen Malaysia untuk meningkatkan perdagangan dua hala.

Pada 2023, perdagangan antara Malaysia dan Pakistan dianggarkan bernilai RM6.43 bilion, dengan Malaysia mengeksport barang bernilai RM4.39 bilion ke Pakistan, dan mengimport barang bernilai RM2.04 bilion, menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM2.34 bilion bagi Malaysia, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan.

Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM5.10 bilion.

Kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) pada 2008, yang merangkumi perdagangan barang, pelaburan dan kerjasama teknikal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan