EKONOMI > BERITA

JCORP LANCAR OPERASI KONTENA DI PELABUHAN TANJUNG LANGSAT

04/10/2024 08:21 PM

JOHOR BAHRU, 4 Okt (Bernama) -- Johor Corporation (JCorp) melalui anak syarikatnya JLand Group (JLG) telah melancarkan operasi kontenanya di Pelabuhan Tanjung Langsat (PTL), Pasir Gudang dekat sini, semalam. 

JCorp berkata inisiatif berkenaan merupakan antara pencapaian penting yang bakal mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam industri logistik, minyak dan gas di peringkat global. 

Menurutnya, pembangunan itu menunjukkan satu lagi langkah yang diambil dalam mentransformasikan ekonomi negara selaras dengan matlamat Program Transformasi Ekonomi (ETP), sekali gus merangsang pertumbuhan di wilayah selatan semenanjung. 

"Pelancaran PTL yang diusahakan oleh TLP Terminal Sdn Bhd dan Puncak Kosmo selaras dengan visi strategik Johor untuk memajukan lagi pelabuhan tersebut sebagai pintu masuk yang berdaya saing dan cekap di samping memacu pertumbuhan masa hadapan. 

"Kepakaran TLP Terminal dalam mengendalikan kargo pukal, separa pukal dan cecair terutamanya dalam sektor petroleum dan minyak boleh dimakan (edible oil) menjadikannya sebagai teras rangkaian logistik dan rantaian bekalan Johor, " menurutnya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Majlis pelancaran itu dirasmikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Pengarah Eksekutif TLP Terminal Sdn Bhd Datuk Shahrull Allam Shah Abdul Halim. 

Menurut kenyataan itu lagi, PTL  juga sedang membangunkan pelabuhan kontena ketiga di Johor bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada syarikat-syarikat multinasional. 

"Inisiatif ini akan melengkapkan pelabuhan yang sedia ada dalam menyumbang kepada pelan ekonomi negeri untuk menarik pelaburan, mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan tambahan bagi komuniti tempatan. 

"Di samping itu, lokasi strategik Tanjung Langsat juga menarik pelaburan baharu dalam sektor tenaga boleh baharu selain Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat (TLIC) yang telah menarik pelaburan sebanyak RM34 bilion dan mewujudkan lebih 15,500 peluang pekerjaan, " katanya. 

Sementara itu, Loke berkata Johor berjaya memperoleh pelaburan bernilai RM43.1 bilion yang mewujudkan lebih  19,000 peluang pekerjaan pada tahun lepas, sekali gus membuktikan kelebihan strategik dan kekuatan industri di negeri itu. 

Beliau sehubungan itu mengucapkan tahniah kepada JCorp terhadap rancangan mereka untuk meningkatkan kemampuan TLIC serta membangunkan kawasan perindustrian baharu di bahagian timur Johor. 

"Dengan langkah yang diambil ini, peluasan TLIC bakal meningkatkan jumlah kontena secara signifikan dan menjadikan PTL sebagai pintu masuk utama bagi industri dalam kawasan TLIC dan sekitarnya. 

"Pada masa sama, kita turut menyokong penuh usaha TLP Terminal untuk meningkatkan kemudahan kontenanya yang mana ia berperanan penting dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal menyumbang kepada peningkatan ekonomi serantau," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan