EKONOMI > BERITA

RM25 JUTA DI PERUNTUKKAN KEPADA PASUKAN PETUGAS KHAS REFORMASI AGENSI

18/10/2024 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2025 menggariskan reformasi perkhidmatan awam yang menjunjung prinsip tatakelola yang baik bagi memacu produktiviti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan memperuntukan RM25 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), antaranya untuk bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi memperluas Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi di semua agensi kerajaan.

“Ini termasuk mengkaji peraturan yang boleh memendekkan proses kelulusan untuk kemudahan rakyat, peniaga dan pelabur.

“STAR yang diterajui Ketua Setiausaha Negara bertanggungjawab menyelaras isu-isu berkepentingan rakyat seperti sekolah dan klinik daif, kesesakan di hospital dan kaunter imigresen serta kelancaran urusan perniagaan diperuntukan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata Rang Undang-undang Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam turut akan digubal meliputi tiga anjakan besar iaitu mengurangkan birokrasi, mempercepat proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Selain itu, Anwar berkata Kerajaan MADANI bertekad mempercepatkan urusan perkhidmatan kerajaan justeru, kerajaan bersetuju membentuk saluran berpusat di UTC bagi membantu rakyat susah untuk memohon bantuan merentasi pelbagai agensi.

“Perkhidmatan kaunter-kaunter kerajaan terus ditambah baik termasuk menerusi Ikhtiar Kiosk Sentuhan MADANI akan dilaksanakan dengan menghimpun pelbagai kiosk perkhidmatan Kerajaan di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah bagi berurusan di luar waktu pejabat.

“Sistem iPayment yang dibangunkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia sebagai platform bayaran tanpa tunai akan digunakan di semua kaunter kerajaan bermula tahun 2025,” katanya.

Selain itu kerajaan turut memperuntukan RM100 juta bagi memperluaskan Perkhidmatan Bergerak  bagi memenuhi keperluan masyarakat desa dan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan panjang untuk keluar.

Sementara itu entiti kerajaan dengan peranan hampir sama telah dipusatkan bagi memastikan mandat penubuhan ditunaikan dengan lebih efektif, antaranya penggabungan Perbadanan InvestKL dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), serta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). 

Berkaitan tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP), Perdana Menteri berkata Garis Panduan Pengurusan dan Tatakelola BBP disediakan supaya badan berkanun mencapai tujuan penubuhan dan tidak tersasar daripada tujuan asal.

“Pejabat Penyelaras Rasionalisasi BBP ditubuhkan bagi menelusuri semula hala tuju BBP, keupayaan kewangan serta pertindihan peranan. Sekitar 544 entiti di bawah ekosistem BBP terlibat, dan turut diperluas merangkumi Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan