EKONOMI > BERITA

PERMINTAAN PENGANGKUTAN UDARA SECARA PURATA DIJANGKA MENINGKAT 4.3 PERATUS - LOKE

21/10/2024 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Permintaan untuk pengangkutan udara dijangka secara puratanya meningkat 4.3 peratus setiap tahun untuk tempoh 20 tahun akan datang, berikutan pemulihan dalam industri penerbangan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata situasi ini akan mewujudkan 15.5 juta peluang pekerjaan secara langsung dan menyumbang US$1.5 trilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global menjelang 2036.

“Kita jangka untuk melihat peningkatan tahunan sebanyak 10.4 peratus dalam jumlah penumpang global bagi tahun 2024, kerana industri penerbangan mengalami pemulihan yang luar biasa melebihi tahap trafik udara prapandemik.

“Di Malaysia, sektor penerbangan kita dijangka berkembang sebanyak empat peratus dalam pergerakan penumpang, didorong oleh penambahan kumpulan pesawat dan kembalinya syarikat penerbangan asing,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Rundingan Perkhidmatan Udara (ICAN) 2024 anjuran Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), di sini hari ini.

Turut hadir Presiden ICAO Salvatore Sciacchitano dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Loke berkata 8.7 juta penumpang direkodkan pada Ogos 2024, menunjukkan peningkatan 12.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau menjangkakan kargo udara berkembang enam hingga 6.6 peratus tahun ke tahun bagi 2024, yang berjumlah kira-kira 20 bilion tan kargo setiap kilometer.

“Pertumbuhan ini didorong oleh beberapa faktor seperti pemulihan di China, peningkatan dalam kitaran teknologi global dan penstabilan ekonomi,” katanya.

Mengulas mengenai penetapan gaji minimum baharu menerusi Belanjawan 2025 pada sidang media selepas itu, Loke berkata ia tidak memberi apa-apa kesan terhadap sektor penerbangan memandangkan gaji minimum sektor berkenaan rata-ratanya telah melebihi angka berkenaan.

“Dalam penerbangan sebenarnya gaji sudah lebih RM1,700, kerana sektor ini banyak kerja teknikal yang memerlukan tenaga kerja mahir serta terlatih dalam semua aspek berkaitan.

“Malah sekarang rata-ratanya (gaji minimum) pun lebih RM2,000 untuk pekerja sektor penerbangan,” katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa 1 Feb 2025.

Sementara itu merujuk kepada acara hari ini Loke berkata ICAN 2024 menunjukkan komitmen Malaysia terhadap program dan inisiatif yang dianjurkan oleh ICAO berkaitan ketersambungan udara, pertumbuhan pengangkutan udara dan kejayaan rundingan dua hala dan pelbagai hala berhubung perkhidmatan udara.

Beliau berkata persidangan itu menyaksikan penyertaan lebih 700 delegasi dari 83 negara anggota ICAO, termasuk Arab Saudi, Rusia, Turkiye dan Brunei.

“Rundingan-rundingan antara delegasi ini bertujuan mendapatkan hak trafik baharu dan tambahan sambil meningkatkan dan mewujudkan Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) dengan negara berkaitan.

“Usaha ini dijangka menjana permintaan tinggi untuk perjalanan, menggalakkan syarikat-syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa mengembangkan operasi penerbangan mereka ke pelbagai destinasi di Malaysia,” katanya.

Terdahulu Loke yang mewakili Malaysia menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) dengan negara Eswatini (di Afrika) dan Suriname (Amerika Selatan), yang akan mewujudkan pengangkutan udara dan perhubungan dengan kedua-dua negara.

Perjanjian bagi penganjuran ICAN 2024 turut ditandatangani antara kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Loke dan ICAO, yang diwakili oleh Sciacchitano.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan