EKONOMI > BERITA

EXIM BANK PERTINGKAT PERANAN DALAM NIMP 2030, DORONG PEMBIAYAAN UNTUK PMKS MALAYSIA

22/10/2024 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) bersedia untuk mengukuhkan peranan dalam ekosistem Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dengan menyediakan pembiayaan kepada syarikat Malaysia yang layak, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Nurbayu Kasim Chang berkata bank berkenaan komited untuk memperkasa PMKS dengan memperhebat sokongan bagi membantu PMKS menembusi pasaran global.

“Kami menghargai komitmen berterusan kerajaan MADANI untuk membantu pengeksport dan akan meneruskan usaha berdedikasi kami menyokong inisiatif SIP2 (Skim Insentif Pemampanan Pengeksport),” katanya dalam kenyataan hari ini.

SIP2 diwujudkan untuk membantu pengeksport tempatan berkembang ke pasaran antarabangsa, terutama dalam sektor dan wilayah bukan tradisional.

Di bawah skim SIP2 bernilai RM750 juta, EXIM Bank akan menawarkan pembiayaan sehingga RM20 juta bagi setiap pengeksport dengan kadar pembiayaan insentif sehingga 1.0 peratus bagi tempoh sehingga tujuh tahun.

Inisiatif ini menggambarkan usaha penting dalam meringankan beban kewangan pengeksport tempatan di samping meningkatkan daya saing global.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan akan menyediakan EXIM Bank dengan peruntukan tambahan sebanyak RM750 juta di bawah SIP2.

Seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan NIMP 2030, EXIM Bank berkata tumpuannya kekal untuk menyokong pertumbuhan eksport Malaysia, terutama dalam pasaran ASEAN dan bukan tradisional.

Berikutan Malaysia bersiap sedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, bank itu menyasarkan untuk menyelaraskan lagi strateginya dengan matlamat negara dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan di pasaran utama ini.

“EXIM Bank komited untuk menyumbang kepada agenda Belanjawan MADANI 2025 dan akan terus menyokong matlamat perdagangan global Malaysia dengan memudahkan pertumbuhan untuk PMKS dan perusahaan besar, memastikan industri dipacu eksport negara kekal berdaya saing di persada dunia,” katanya.

Sehingga kini, EXIM Bank telah mengagihkan sebanyak RM290 juta di bawah SIP2, menyokong lebih 37 syarikat Malaysia dalam mengukuhkan keupayaan eksport.

Bank ini kekal komited untuk memacu pertumbuhan jangka panjang perusahaan Malaysia yang mampan menerusi penyelesaian kewangan yang disesuaikan dan khidmat nasihat, memastikan perniagaan tempatan mempunyai medium yang diperlukan untuk berkembang maju di pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan