EKONOMI > BERITA

GAMUDA RAIH KONTRAK BERNILAI RM4.3 BILION UNTUK PROJEK MRT XIZHI DONGHU DI TAIWAN

22/10/2024 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Gamuda Bhd, bersama dengan dua syarikat berpangkalan di Taiwan, MiTAC Information Technology Corp dan Dong Pi Co, Ltd, meraih kontrak reka bentuk dan pembinaan siap guna bernilai RM4.3 bilion untuk projek Mass Rapid Transit (MRT) Xizhi Donghu di Taiwan.

Projek itu dianugerahkan oleh Department of Rapid Transit Systems, bahagian MRT yang ditubuhkan di bawah Kerajaan Bandar Raya Taipei Baru.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata pihak yang terlibat akan menjadi kontraktor utama untuk projek itu, yang telah dianugerahkan kepada usaha sama tidak diperbadankan terdiri daripada Gamuda dengan 75 peratus kepentingan majoriti, MiTAC (15 peratus) dan DongPi (10 peratus).

“Usaha sama itu bertanggungjawab untuk melaksanakan, apabila diarahkan oleh Kerajaan Bandar Raya Taipei Baru, kerja-kerja tambahan yang telah ditentukan bernilai RM10.8 bilion.

“Kerja-kerja tambahan ini meliputi Depoh Penyelenggaraan Xizhi Donghu Line serta kerja-kerja sistem dan landasan untuk dua laluan sambungan - Keelung Line MRT dan Minsheng Line MRT,” katanya. 

Menurut Gamuda, kerja-kerja tambahan ini, yang akan menjadi kontrak berasingan, dijangka diberikan sebelum tamat kontrak MRT Xizhi Donghu.

Jumlah keseluruhan nilai projek termasuk kerja-kerja tambahan kira-kira RM15.1 bilion.

Bahagian Gamuda sebanyak 75 peratus daripada nilai kontrak kerja-kerja tambahan adalah kira-kira RM8.1 bilion. Kerja-kerja tambahan ini, yang akan menjadi kontrak berasingan, dijangka dianugerahkan sebelum tamat kontrak MRT Xizhi Donghu.

Projek selama tujuh tahun itu melibatkan pembinaan landasan kereta api sepanjang 5.78 kilometer yang termasuk enam stesen bertingkat terletak di Daerah Neihu Taipei dan Daerah Xizhi Bandar Raya Taipei Baru.

Projek MRT itu adalah sebahagian daripada inisiatif infrastruktur yang penting sedang dijalankan di Bandar Raya Taipei Baru, Taiwan, dengan matlamat utama untuk memperluas dan meningkatkan kesalinghubungan antara Daerah Xizhi dan kawasan lain di Taipei Baru dan Bandar Raya Taipei.

Matlamat utamanya ialah mewujudkan sistem transit aliran massa yang moden dan cekap untuk memenuhi permintaan yang meningkat daripada penduduk bandar di Taipei Baru.

Dalam kenyataan berasingan hari ini, Gamuda berkata projek itu merupakan projek infrastruktur utama ketujuh kumpulan tersebut di negara ini dan yang terbesar sejak memasuki pasaran Taiwan dua dekad yang lepas.

“Ini menunjukkan keupayaan kumpulan untuk meraih projek bernilai tinggi di pasaran antarabangsa yang kompetitif. Ia mencerminkan rekod prestasi kami yang kukuh dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak berkuasa Taiwan terhadap kepakaran dan keupayaan pelaksanaan kami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan