EKONOMI > BERITA

BELANJAWAN 2025: PERUNTUKAN PERTANIAN DIJANGKA RANGSANG INDUSTRI BERAS SABAH

23/10/2024 03:50 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 23 Okt (Bernama) -- Industri beras Sabah dijangka menerima banyak manfaat daripada pelbagai inisiatif pertanian yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, kata Prof Madya Dr Bonaventure Boniface dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurutnya Sabah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.7 bilion, iaitu antara negeri penerima tertinggi, dengan perhatian yang ketara diberikan terhadap pembangunan infrastruktur asas dan sektor pertanian.

Boniface menekankan bahawa dana ini akan membantu untuk membina jalan penting dan sistem pengairan bagi mengurangkan kos logistik dan meningkatkan pengeluaran peladang.

“Tumpuan utama dalam belanjawan adalah pengurusan banjir, dengan pengenalan pelan tebatan banjir. Pelan ini bertujuan mengawal banjir dalam sawah padi, memastikan bekalan air stabil ketika musim kemarau dan mengelakkan kerosakan tanaman semasa musim hujan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau yang juga ahli lembaga Lembaga Padi dan Beras Sabah berkata, walaupun tiada subsidi khas untuk beras diumumkan dalam Belanjawan 2025, sokongan berterusan untuk baja, benih dan bantuan kewangan untuk petani adalah dijangkakan.

“Ini penting untuk membantu petani berskala kecil di Sabah berdepan peningkatan kos dan kekal berdaya saing. Kerajaan juga mempromosikan penggunaan dron dan teknologi moden lain dalam pertanian untuk meningkatkan kecekapan dan menangani isu kekurangan buruh.

“Ini dijangka mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia, cabaran yang mendesak dalam sektor pertanian Sabah,” katanya.

Boniface mengemukakan beberapa saranan untuk mengukuhkan lagi industri beras, dengan saranan utama terhadap pembangunan varieti padi yang lebih berdaya tahan serta mampu bertahan daripada cuaca dan penyakit ekstrem.

Beliau turut menekankan kepentingan peningkatan dana untuk penyelidikan dan pembangunan dalam penanaman padi, dengan UMS berada pada tempatnya untuk meneraju usaha ini.

Pengembangan infrastruktur pengairan adalah satu lagi bidang kritikal, kata Boniface sambil memaklumkan pembinaan sistem pengairan khusus untuk sawah padi akan menambah baik pengurusan air, mengurangkan kebergantungan kepada hujan dan meningkatkan produktiviti.

“Program latihan untuk petani dalam teknologi moden seperti dron dan peralatan automatik turut diberikan perhatian,” katanya.

Boniface menyarankan program ini boleh disubsidi oleh kerajaan untuk membantu petani mengoptimumkan hasil menerusi teknik pertanian baharu.

“Selain itu, terdapat saranan untuk menambah baik pasaran beras Sabah dan sistem rantaian bekalan. Mewujudkan lebih banyak pusat pengumpulan dan pemprosesan akan menawarkan petani akses pasaran yang lebih baik, mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah yang sering mengambil sebahagian besar keuntungan,” katanya.

Boniface berkata belanjawan itu turut membuka potensi untuk Sabah terlibat dalam pasaran organik global.

“Kerajaan boleh memberikan insentif kepada petani untuk beralih kepada pertanian organik, menawarkan sokongan teknikal dan subsidi.

"Berikutan permintaan yang semakin meningkat untuk produk organik, langkah ini boleh menjadi peluang yang menguntungkan bagi penanam padi," katanya.

Boniface berkata inisiatif dan cadangan ini dijangka dapat memastikan kemampanan dan daya saing industri beras Sabah pada tahun-tahun akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan