EKONOMI > BERITA

MPOC JANGKA CADANGAN TANGGUH PELAKSANAAN EUDR AKAN DILULUSKAN PARLIMEN EU

23/10/2024 07:33 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) akan meluluskan cadangan untuk menangguhkan pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Menurut MPOC, peruntukan EUDR terhadap permohonan itu akan diundi di Parlimen EU.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata Majlis EU telah meluluskan penangguhan pelaksanaan EUDR sehingga 30 Disember 2025 sebagai respon kepada tekanan daripada pengeluar komoditi global, negara anggota EU dan perniagaan.

Dua keputusan mungkin akan terhasil daripada undian Parlimen EU, katanya.

“Pertama, lanjutan masa 12 bulan permohonan EUDR diterima tanpa pindaan, melanjutkan tempoh peralihan sehingga 30 Disember 2025 untuk semua pihak berkepentingan dan sehingga 30 Jun 2026 bagi perusahaan kecil dan sederhana EU.

“Kedua, lanjutan masa itu diterima, bagaimanapun dengan perlindungan tambahan untuk memastikan semua pihak berkepentingan memenuhi komitmen dan tanggungjawab mereka,” katanya kepada Bernama.

Belvinder berkata lanjutan masa itu boleh digunakan untuk menangani beberapa isu, antaranya berusaha memastikan pengecualian EUDR untuk pekebun kecil direalisasikan, memastikan mereka terlibat dalam rantaian bekalan antarabangsa, meletakkan kriteria penanda aras yang telus dan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) diterima sebagai alat pematuhan untuk EUDR.

“Penambahbaikan ini berbanding EUDR akan memudahkan akses pasaran bagi minyak sawit Malaysia ke EU,” katanya.

Kos pematuhan EUDR dianggarkan sebanyak US$650 juta (US$1= RM4.34) setiap tahun, sebanyak US$260 juta memberi kesan secara langsung kepada pekebun kecil.

Beliau mengulangi jangkaan MPOC sebelum ini bahawa kelewatan akan berlaku dalam pelaksanaan peraturan itu, seterusnya lanjutan masa diberikan untuk menyokong pekebun kecil dan memudahkan peralihan yang lebih lancar untuk perniagaan.

“Pengeluar minyak sawit Malaysia bersedia sepenuhnya untuk mematuhi keperluan EUDR, disokong oleh pensijilan MSPO mandatori yang menjamin kebolehkesanan dan pematuhan undang-undang.

“Piawaian MSPO harus dimasukkan dalam perbincangan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU, atau pengiktirafan bersama harus dipertimbangkan,” katanya.

Belvinder juga berkata MPOC telah secara konsisten mempertahankan kepentingan Malaysia sepanjang proses EUDR selepas mencabar klasifikasi tidak adil terhadap Malaysia sebagai "berisiko tinggi" dan menyokong status "berisiko rendah" berdasarkan komitmen negara kepada amalan mampan.

“Malaysia telah mencapai kemajuan alam sekitar dengan ketara termasuk pengurangan 57 peratus dalam kehilangan hutan primer menjelang 2022 menurut laporan Global Forest Watch oleh World Resources Institute.

“Menerusi pencapaian ini, Malaysia sepatutnya diklasifikasikan sebagai ‘berisiko rendah’ di bawah sistem penanda aras yang dikenakan secara unilateral oleh EUDR. Penglibatan dua hala juga perlu untuk mengurangkan sebarang kesan yang berpotensi berlaku,” katanya.

Pada 16 Oktober, Majlis EU bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan EUDR selama 12 bulan.

Menurut EU, penangguhan itu akan membolehkan negara ketiga, negara anggota, pengendali dan pedagang bersedia untuk kewajipan usaha wajar mereka, memastikan komoditi dan produk tertentu yang dijual di EU atau dieksport dari EU adalah bebas penebangan hutan.

Ia termasuk produk yang diperbuat daripada lembu, kayu, koko, soya, minyak sawit, kopi, getah dan beberapa produk lain.

“Jika diluluskan oleh Parlimen EU, peraturan itu akan bermula 30 Disember 2025 untuk pengendali dan peniaga makro dan mulai 30 Jun 2026 bagi perusahaan mikro dan kecil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan