EKONOMI > BERITA

PENYASARAN SUBSIDI RON 95: PAKAR EKONOMI CADANG KERAJAAN TIDAK GANGGU HARGA PASARAN

24/10/2024 07:18 PM

BANGI, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan dicadangkan menggunakan pendekatan yang tidak menganggu harga pasaran sedia ada dalam usaha melaksanakan penyasaran subsidi RON 95 supaya barangan keperluan di negara ini menjadi lebih mampu milik untuk rakyat.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA- UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata pada masa yang sama kerajaan disaran terus memberi bantuan sewajarnya kepada golongan yang memerlukan.

Katanya sebagai contoh, harga bagi petrol RON95 yang dijual di pasaran perlu mengikut harga pasaran yang adil.

 “Pada pandangan saya, jangan ganggu harga, harga yang adil biarpun tinggi tidak apa. Harga yang adil maksudnya adalah kalau tinggi, jika ada kumpulan terjejas, bantulah dia dengan cara lain, bukan meletakkan dua harga berbeza di pam,” katanya selepas Sidang Media Khas Belanjawan 2025, di sini hari ini.

Noor Azlan berkata sekiranya kerajaan mahu memberikan subsidi RON95 kepada golongan sasar, beliau menyarankan supaya ia diberikan mengikut jenis kenderaan yang digunakan dan bukannya berdasarkan pengkelasan isi rumah mahupun individu.

“Ia seperti bayaran tol lebuh raya yang mengikut kelas kenderaan. Sekiranya orang kaya menggunakan kereta kancil, mereka akan layak mendapat subsidi, antaranya disebabkan mereka akan menggunakan minyak yang sedikit.

“Saya kira rata-rata individu lebih kaya akan menggunakan kenderaan dengan kapasiti enjin lebih besar. Sudah tentu dalam setiap pengkelasan akan ada ketirisan, namun ia boleh dikurangkan,” katanya.

Noor Azlan berkata kerajaan juga perlu meneliti semula pendekatan pemberian subsidi dengan menggunakan kaedah pengkelasan ambang pendapatan.

Beliau berkata contohnya sekarang, ada pengkelasan mengikut B40, M40 dan terkini T15. 

“Saya ada sedikit kerisauan, saya risau tafsiran masyarakat secara emosi dan mereka mula membayangkan T15 itu adalah istilah maha kaya.

“T15, sebagai contoh, kalau kamu berada di Kelantan, pendapatan isi rumah sebanyak RM7,759, kamu sudah berada dalam golongan T15  (tetapi) apabila kamu datang ke Kuala Lumpur, RM7,000 ni baru cukup-cukup hendak meneruskan kehidupan, betul tak?

“Jadi, bila menggunakan T15 ni sebagai satu pemboleh ubah dasar, pada pandangan saya, kalau tidak cermat, ia akan terjebak dengan kesilapan dari segi sasaran,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 pada Jumaat lepas berkata kerajaan memberi jaminan mempertahan kepentingan rakyat terbanyak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi.

Anwar berkata kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 dan penjimatan yang dicapai daripadanya akan dimanfaat untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan