EKONOMI > BERITA

RINGGIT DIJANGKA MENGUKUH LIMA PERATUS JIKA KAMALA HARRIS JADI PRESIDEN AS - ALLIANZ

24/10/2024 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Nilai ringgit dijangka mengukuh sebanyak lima peratus sekiranya Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris dilantik sebagai presiden sebelum akhir tahun ini, kata Ketua Ahli Ekonomi Allianz SE Ludovic Subran.

Pemilihan Presiden AS dijadualkan pada 5 Nov, 2024 yang akan turut menentukan naib presiden negara maju berkenaan.

Sambil menyifatkan kadar pertukaran mata wang itu sebagai amat mudah terjejas, Subran percaya dolar AS akan lebih kukuh jika Donald Trump dipilih semula menduduki kerusi presiden dan sebaliknya lemah sekiranya Harris menang.

Bagi ringgit, beliau berkata pemilihan semula Trump akan menyebabkan mata wang itu susut sebanyak lima peratus hingga 10 peratus pada 2025 dan mencatat penyusutan kecil dua peratus hingga tiga peratus jika Harris menerajui pentadbiran.

Angka itu adalah bagi unjuran untuk akhir tahun ini, kata beliau.

“Namun, saya masih berpendapat ketidaktentuan yang kita bangkitkan dari segi pelarasan serta faktor lain akan memberi sedikit tekanan bagi penyusutan ringgit hari ini.

“Oleh itu, boleh dikatakan bahawa ringgit tidak dinilai secara keterlaluan; (cuma) isu sebenarnya di sini adalah cabaran luaran,” katanya pada program Unjuran Ekonomi Asia Pasifik 2024 di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Subran berkata adalah penting untuk Malaysia mempunyai kemampuan dari segi modal luaran bagi memacu pertumbuhannya.

“Saya tetap optimis dan percaya penyusutan ringgit sebanyak dua peratus hingga tiga peratus di bawah pentadbiran Harris adalah sesuatu yang boleh diurus.

“Terdapat peluang yang baik bahawa nilai ringgit sebaliknya akan mengukuh dalam jangka pendek dan stabil menjelang akhir 2025. Namun, kebimbangan utama di sini adalah (faktor) Trump kerana kepimpinannya hanya cenderung menyebabkan penyusutan nilai ringgit yang ketara,” katanya.

Ringgit telah menyusut kira-kira lima peratus berbanding dolar AS pada bulan ini dan diniagakan pada paras 4.3500/3550 berbanding dolar AS setakat jam 4.05 petang ini berbanding paras penutup 4.3490/3535, semalam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan