EKONOMI > BERITA

PERANGKAAN: INDEKS PELOPOR MALAYSIA NAIK 4.0 PERATUS PADA OGOS 2024, CAPAI 114.3 MATA

25/10/2024 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Indeks Pelopor (IP) terus memperlihatkan momentum pertumbuhan yang kukuh pada Ogos 2024, dengan mencatatkan pertumbuhan 4.0 peratus, mencapai 114.3 mata berbanding 109.9 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu mencerminkan peningkatan yang meluas merentas semua komponen IP.

"Melihat kepada trend jangka panjang terlicin pada Ogos 2024, IP konsisten melepasi 100.0 mata, mencerminkan ekonomi Malaysia yang berkembang disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan prospek positif terhadap perdagangan luar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DOSM hari ini mengeluarkan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi Ogos 2024. IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan yang ketara dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi bagi tempoh terdekat.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata dari segi prestasi bulanan, IP mengalami penyusutan 0.7 peratus disebabkan oleh penurunan yang signifikan dalam Import Benar Semi Konduktor (0.8 peratus), jangkaan nilai jualan dalam pembuatan (0.6 peratus) dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.3 peratus).

Sementara itu, beliau berkata Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan landskap ekonomi semasa, merekodkan pertumbuhan tahunan yang positif sebanyak 2.1 peratus pada Ogos 2024, mencapai 126.5 mata berbanding 123.9 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

"Kenaikan ini sebahagian besarnya didorong oleh pertumbuhan dalam kebanyakan komponen kecuali gaji dan upah benar dalam pembuatan yang mengalami penyusutan sebanyak 0.3 peratus," katanya.

Merujuk kepada prestasi bulanan, Mohd Uzir berkata IS menunjukkan penurunan marginal sebanyak 0.6 peratus, dipengaruhi oleh kemerosotan dalam empat daripada enam komponen terutamanya nilai caruman benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (0.3 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan