EKONOMI > BERITA

RAFIZI YAKIN MOMENTUM PEMBANGUNAN SARAWAK MENINGKAT DALAM RMK13

30/10/2024 07:30 PM

KUCHING, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan yakin momentum pembangunan di Sarawak dapat ditingkatkan lagi dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan datang berdasarkan keserasian yang sudah terjalin dengan kerajaan negeri itu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sejak dua tahun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk kepimpinan Persekutuan, perancangan pembangunan Sarawak sudah dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan cepat hasil hubungan harmoni dengan kerajaan Sarawak.

“Dasar kerajaan Persekutuan sekarang amat saling melengkapi dalam bidang-bidang yang menjadi tumpuan kerajaan negeri. Segala yang dirancang kerajaan Sarawak kini juga selari dengan usaha di peringkat Persekutuan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus RMK13 bersama kerajaan Sarawak di sini hari ini, beliau berkata kerajaan Persekutuan telah mengambil tindakan berbentuk saling melengkapi bagi melancarkan proses pembangunan yang berlaku di Sarawak.

“Dengan beberapa keputusan yang telah dibuat sebelum ini yang berhubung dengan menurunkan kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk mengendalikan sendiri projek dan sebagainya menjadi sebahagian daripada usaha untuk mempercepat proses pelaksanaan projek,” katanya.

Rafizi berkata sesi libat urus dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu bukanlah platform pertama bagi membincangkan proses pelaksanaan pembangunan oleh kerajaan Persekutuan di Bumi Kenyalang.

Beliau berkata sebahagian pembangunan itu telah dimulakan sejak dua tahun lepas dan fokus pada masa ini adalah perancangan pembangunan yang boleh dilaksanakan dengan baik untuk tempoh antara 2026 hingga 2030. 

“Fokus utama supaya penyelarasan dan keserasian perancangan ekonomi itu dapat merealisasikan hasrat prestasi ekonomi kedua-dua belah pihak. Kami yakin bahawa apa yang baik untuk Sarawak juga baik untuk Malaysia dan apa yang baik untuk Malaysia adalah baik untuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata sesi libat urus hari ini merupakan yang keempat dilaksanakan oleh kementeriannya selepas Selangor, Wilayah Persekutuan dan Melaka, dengan program berkenaan akan diteruskan di 10 negeri lain dalam tahun ini.

“Kita juga ada SLU (sesi libat urus) dengan kumpulan-kumpulan tertentu seperti dengan industri, kumpulan belia dan kumpulan rentan.

“Jadi tempoh November dan Disember ini kami (Kementerian Ekonomi) akan cuba melalui semua SLU ini supaya kita dapat gambaran yang penuh daripada semua pihak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan