EKONOMI > BERITA

INTEGRASI BIOMETANA DALAM SEKTOR O&G LABUAN BANTU MALAYSIA CAPAI MATLAMAT ESG - CHAN

03/11/2024 07:13 PM

LABUAN, 3 Okt (Bernama) -- Biometana muncul sebagai bahan api alternatif yang menggalakkan dalam sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia, menekankan komitmen negara terhadap kelestarian alam sekitar, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata biometana boleh berperanan penting dalam membantu Malaysia mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan mengawal pelepasan karbon dalam industri tenaga.

“ESG telah menjadi keutamaan negara memandangkan kita berhasrat untuk mengimbangkan pembangunan ekonomi dengan tanggungjawab alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemilihan kepimpinan baharu DAP Labuan di sini hari ini.

Menurutnya biometana adalah sumber bersih dan boleh baharu, justeru, apabila diintegrasikan dalam sektor O&G Labuan, ia boleh membantu mengurangkan jejak karbon Malaysia di samping menyokong inisiatif tenaga lestari.

“Di Labuan, sebagai pulau yang terkenal dengan operasi O&G, memperkenalkan biometana boleh menangani keperluan tenaga dan kebimbangan mengenai alam sekitar,” katanya.

Chan berkata biometana membakar lebih bersih berbanding bahan api fosil, membebaskan lebih sedikit bahan pencemar dan gas rumah hijau, seiring dengan peralihan global ke arah tenaga lebih bersih.

Berikutan negara-negara di seluruh dunia menerima guna dasar boleh baharu, Chan yakin bahawa menerusi kedudukan strategik Labuan dalam landskap tenaga Malaysia, ia boleh meneraju peralihan kepada alternatif yang lebih lestari.

Beliau berkata penerokaan biometana Labuan menandakan langkah memandang ke hadapan dalam perjalanan tenaga lestari Malaysia dan dedikasi untuk mengurangkan pelepasan karbon.

“Memandangkan sektor tenaga global yang berkembang, Labuan boleh menjadi contoh bagi kawasan lain di Malaysia, dan mempunyai potensi lebih luas dalam memajukan penyelesaian tenaga yang mematuhi ESG,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan